Auto Added by WPeMatico

PORT DICKSON – Dua penunggang motosikal yang melakukan aksi ‘Superman’ di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH), di sini ditahan polis petang semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, dua lelaki dikesan melakukan aksi meniarap atas motosikal secara berbahaya sejauh 700 meter dari kilometer 14.1 hingga kilometer 14.8 Lebuh Raya SPDH arah ke Port Dickson.
Menurutnya, suspek pertama berusia 18 tahun bekerja sebagai pekerja kilang, manakala suspek kedua berusia 29 tahun, bekerja sebagai pembuat papan tanda berjaya ditahan bersama dua buah motosikal jenis Yamaha LC135.
“Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Trafik IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan membahayakan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta tidak lebih RM15,000. Selain itu, pesalah juga boleh hilang kelayakan lesen tidak kurang daripada dua tahun,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Dua lelaki pamer aksi ‘Superman’ ditahan polis appeared first on Kosmo Digital.