Auto Added by WPeMatico

RAWANG – Seorang lelaki warga Myanmar berusia 24 tahun cedera di kepala selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti mandi-mandi di tingkat empat Air Terjun Taman Eko Rimba Sungai Kanching di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.03 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi pada pukul 2.13 petang, anggota menerima maklumat awal daripada pihak Kementerian Kesihatan bahawa mangsa mengalami kecederaan ketika berada di kawasan air terjun berkenaan.
“Mangsa berjaya ditemui pada pukul 2.40 petang dalam keadaan sedar sebelum dibawa turun menggunakan pengusung (stretcher),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi melibatkan 11 anggota bersama dua jentera jenis FRT dan EMRS dari BBP Rawang.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kejadian serupa menimpa dua lelaki mengalami kecederaan ketika melakukan aktiviti mandi-manda di air terjun sama, Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Lagi insiden di Air Terjun Sungai Kanching, lelaki Myanmar cedera kepala appeared first on Kosmo Digital.