Auto Added by WPeMatico

![]()
RANTAU PANJANG – Kerja-kerja perobohan 223 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand yang dikesan menjadi lokasi penyeludupan dijalankan secara berperingkat bermula hari ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pangkalan haram Gergaji dan MCA di sini menjadi perintis kepada kerja-kerja perobohan itu yang dijangka mengambil masa selama dua bulan.
Katanya, semakan mendapati, sebanyak 216 daripada 223 pangkalan haram bermula dari Pengkalan Kubor hingga Jeli itu dibina di atas tanah milik kerajaan. “Baki tujuh struktur binaan pangkalan haram dibuat di atas tanah milik persendirian. Perkara ini sudah hampir setahun saya maklumkan dan masyarakat mulai faham tujuan sebenar tindakan perobohan dijalankan.
“Justeru, semua penduduk perlu memberi kerjasama penuh sepanjang pelaksanaan tugasan tersebut dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau kerja-kerja perobohan pangkalan haram di pangkalan haram Gergaji di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, Nik Raisnan Daud.
Mohd. Yusoff memberitahu, tempoh kerja-kerja perobohan selama dua bulan itu akan dipantau pihak polis dan agensi yang terlibat.
Katanya, kerja-kerja merobohkan pangkalan haram dilihat mampu mengurangkan aktiviti jenayah rentas sempadan di negeri ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff berkata, beliau percaya perobohan pangkalan haram di sempadan negara ini sudah berada dalam pengetahuan pihak berkuasa Thailand.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, imej negatif yang sering dikaitkan dengan kawasan sempadan di Sungai Golok bakal terhakis selepas 153 daripada 212 jeti atau pangkalan haram di lokasi tersebut mula dirobohkan sekali gus mengekang kegiatan penyeludupan yang berakar umbi sejak lebih 50 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Perobohan 223 pangkalan haram di Sungai Golok bermula hari ini appeared first on Kosmo Digital.