Auto Added by WPeMatico

ASSALAMUALAIKUM, saya ada satu soalan berkenaan solat. Bagaimanakah cara jika seseorang itu menyedari bahawa dia tersalah kiblat ketika solat? Apakah caranya jika seseorang itu ingin menegur individu yang tersalah kiblat ketika sedang menunaikan solat? Mohon penjelasan.
JAWAPAN: Waalaikumussalam, pada dasarnya, menghadap kiblat merupakan syarat sah solat dan hukumnya adalah wajib. Ini dikuatkan lagi dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W: “Apabila engkau hendak bersolat berwuduklah dengan sempurna, kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbir.” (Riwayat al-Bukhari, 6251), Muslim, 397)
Maksud Masjid al-Haram dalam ayat al-Quran dan lafaz kiblat dalam hadis di atas bermaksud Kaabah. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 1/127]
Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, kami akan memperhalusinya dengan beberapa noktah penting yang perlu dilihat bersama.
Orang yang berhampiran dengan Kaabah wajib menghadap Kaabah tersebut dengan yakin.
Manakala yang jauh dari Kaabah wajib menghadapnya dengan berpandukan petunjuk-petunjuk yang kukuh sekiranya tidak terdapat petunjuk yang pasti dan tepat. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji;
1/128]
Maka, jika seseorang itu ingin menunaikan solat, hendaklah dirinya memastikan terlebih dahulu bahawa dia telah menghadap ke arah kiblat dengan yakin.
Jika dia terpaksa berijtihad disebabkan jauhnya Kaabah dari penglihatan, maka perlulah ijtihadnya itu berpandukan petunjuk-petunjuk yang kukuh dan telah berusaha mencarinya dan yakin dengannya.
Jika seseorang itu sedang menunaikan solat, kemudian dia tersedar bahawa tersalah arah kiblat, maka di sini ulama mazhab Syafi’i ada dua qaul padanya:
Pertama: Memulakan semula solatnya ke arah ijtihadnya yang baharu
Kedua: Tidak memulakan semula solatnya, malah cukup dengan hanya memalingkan diri atau beralih arah ke ijtihadnya yang baharu dan meneruskan solat (menghadap ijtihadnya yang baharu).
Ini merupakan pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafi’i. Sekalipun jika seseorang itu solat menghadap ke empat arah yang berbeza dalam satu solat disebabkan ijtihad, maka sah solatnya. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 3/221])
Jika dalam satu situasi, dilihat seseorang itu sedang menunaikan solat, namun dia menghadap ke arah kiblat yang salah.
Maka, sebaiknya untuk orang yang menyedarinya menegur individu sedang bersolat itu untuk mengubah kiblatnya sama ada ke kanan atau ke kiri dan sebagainya.
Perkara ini ada disebut oleh Imam al-Buhuti dalam kitabnya:
“Jikalau dikhabarkan kepadanya yang solat berdasarkan ijtihad ataupun taqlid (mengikut) dan dalam keadaan dia solat itu bahawa dia salah dengan yakinnya (oleh seseorang yang boleh dipercayai), maka perlulah dia mengikutinya (menghadap ke arah yang baharu) dan meninggalkan ijtihad dan juga taqlidnya yang sebelum ini. [Lihat: Kasyaf al-Qanna’; 1/312]
Perbuatan menegur ini termasuk dalam bab memberikan nasihat dan juga petunjuk. Maka, jika seseorang itu tidak mampu untuk menegurnya ketika solat, perlulah dia menegurnya setelah solat itu.
Teguran terhadap orang yang sedang menunaikan solat boleh juga dilakukan dengan cara perbuatan selain dari mengungkapkan perkataan kepadanya.
Ini kerana dikhuatiri orang yang sedang solat itu tidak sedar ataupun menyangka teguran itu tidak ditujukan kepadanya.
Kesimpulannya, jika seseorang itu menyedari bahawa dia telah tersalah kiblat ketika sedang menunaikan solat (kerana wujudnya petunjuk yang pasti), maka hendaklah dia memalingkan dirinya ke arah yang baharu.
Kemudian, jika ada yang menyedari seseorang itu salah dalam arah kiblatnya dan dia mengetahui dengan pasti arah kiblat yang betul, maka perlulah dia menegur orang sedang solat tersebut.
Jadi, dia (orang yang bersolat itu) wajib beralih jika yakin bahawa teguran itu adalah benar dan dipercayai.
Jika teguran berbentuk perkataan tersebut tidak memberi kesan kepada orang yang solat itu, maka diperbolehkan ke atasnya untuk mengalihkannya dengan perbuatan ke arah kiblat yang betul.
Namun, mestilah dengan berhati-hati sehingga tidak menyebabkan solatnya terbatal.
The post Apa perlu dilakukan jika salah kiblat? appeared first on Kosmo Digital.