Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Tiga beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata ingin menuntut keadilan selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka dalam kemalangan tragis di Jalan Ampang, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.34 pagi itu, A. Doraisingam, 61, dan isterinya, A. Menagah, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta.
Difahamkan, ketika kejadian, mendiang Doraisingam sedang menghantar isterinya ke tempat kerja di Hospital Gleneagles yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi nahas.
Anak sulung mendiang, D. Shathisuaran, 26, berkata, kehilangan tersebut memberi kesan besar kepada kehidupan mereka sekeluarga.
“Kami hanya mahu keadilan untuk ibu bapa kami. Pada malam sehari sebelum kejadian, saya keluar pergi kenduri, jadi mak pesan untuk balik awal. Saya tak sangka itu perbualan terakhir kami,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Raja Laut, di sini hari ini.
Shathisuaran yang bekerja sebagai juruteknik kini perlu memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk menanggung dua adiknya, Pavithra, 24, dan Cheran, 19.
“Sekarang ini saya seorang bekerja dengan gaji sekitar RM2,200. Jadi, saya kena kuat untuk adik-adik saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Shathisuaran berkata, keluarganya juga sedang mempertimbangkan tindakan lanjut termasuk membuat laporan polis bagi memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.
“Buat masa ini, kami masih belum boleh membuat laporan kerana polis sedang mendapatkan keterangan daripada pemandu dan penumpang yang cedera. Selepas proses itu selesai, barulah kami akan membuat laporan. Saya berharap keadilan dapat ditegakkan untuk ibu bapa kami,” katanya.
Sementara itu, Pavithra, 24, yang baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak turut berkongsi detik terakhir bersama ibunya apabila mendiang sempat memberinya wang RM50 sebelum keluar rumah pada pagi kejadian.
Menurutnya, ketika itu ibunya kelihatan seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Itu kali terakhir saya jumpa mak. Dia sempat bagi RM50 dan pesan supaya uruskan beberapa perkara di rumah pagi itu,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk dalam kejadian di Jalan Ampang, di sini kelmarin.
Dalam kejadian itu, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal jenis Honda Wave Alpha ditunggang pasangan suami isteri terbabit.
Pemandu dan penumpang hadapan berusia 23 tahun kereta terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.
Seorang lagi penumpang belakang berusia 24 tahun hanya mengalami kecederaan ringan telah dibenarkan pulang sebelum tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas Jalan Ampang: ‘Kami hanya mahu keadilan untuk ibu bapa’ appeared first on Kosmo Digital.
