Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Insiden pergaduhan di perkarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, di sini, semalam tidak membabitkan kumpulan penyokong mana-mana pasukan bola sepak.
Kejadian pada pukul 11.15 malam itu berlaku di kawasan ‘food truck’ selepas perlawanan antara Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Sabah FC berakhir.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada petugas stadium.
“Anggota telah dikerahkan ke lokasi bagi melihat situasi awal dan mendapati keadaan telah tenang dan individu terlibat telah bersurai
“Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai video kejadian yang tular di media sosial, beliau berkata, pihaknya tidak dapat mengesan pemilik rakaman berkenaan.
“Pelaku juga tidak dapat dikenal pasti kerana telah bersurai sebaik polis tiba.
“Setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak,” jelasnya.
Terdahulu, tular media sosial kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan individu dipercayai penyokong di luar perkarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, di sini.
Menerusi video klip berdurasi 36 saat itu, kelihatan sekurang-kurangnya 10 hingga 20 orang terbabit dalam pergaduhan itu.
Difahamkan, pergaduhan itu terjadi susulan provakasi yang dibuat oleh penyokong tuan rumah sebelum ia bertindak di luar kawalan. – KOSMO! ONLINE
The post Pergaduhan di stadium Cheras tidak babit penyokong bola sepak appeared first on Kosmo Digital.