Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA – Jemaah Menteri bersetuju supaya satu kajian menyeluruh dijalankan berhubung cadangan pelaksanaan sistem percukaian hibrid yang menggabungkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum sebarang keputusan dibuat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Kabinet juga telah mengarahkan Kementerian Kewangan, khususnya Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk meneliti secara terperinci cadangan berkenaan.
“Menteri Kewangan II diberikan tempoh masa tertentu bagi menyediakan laporan lengkap sebelum dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri untuk perbincangan lanjut.
“Perdana Menteri telah memaklumkan tentang keperluan untuk Kementerian Kewangan dan khususnya Menteri Kewangan II melakukan kajian penuh mengenai cadangan sistem percukaian hibrid SST-GST,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Katanya, kajian tersebut masih berada di peringkat awal dan memerlukan penelitian mendalam memandangkan ia melibatkan pelbagai aspek berkaitan sistem percukaian negara.
Fahmi berkata, kerajaan tidak mahu membuat keputusan secara tergesa-gesa kerana perlu mengambil kira pengalaman pelaksanaan GST sebelum ini serta isu-isu yang timbul di bawah sistem SST yang sedang digunakan ketika ini.
“Ini masih di peringkat awal dan Kementerian Kewangan diberi masa memandangkan ia bukan satu perkara yang boleh dilakukan secara terburu-buru.
“Ia melibatkan aspek-aspek pengajaran daripada pelaksanaan sistem GST serta isu-isu yang dihadapi berdasarkan sistem SST waktu ini,” katanya.
Katanya, segala dapatan dan pertimbangan hasil kajian tersebut akan dibawa semula ke mesyuarat Jemaah Menteri sebelum sebarang keputusan dasar dibuat kerajaan.
Ditanya sama ada kerajaan menetapkan garis masa atau tarikh akhir untuk kajian berkenaan disiapkan, termasuk kemungkinan pengumumannya dibuat dalam pembentangan Belanjawan 2027 akan datang, Fahmi berkata perkara itu belum dimaklumkan.
Cadangan pelaksanaan sistem percukaian hibrid SST-GST sebelum ini menjadi perhatian pelbagai pihak susulan perbincangan mengenai keperluan memperkukuh kedudukan fiskal negara dan memperluaskan asas percukaian. – KOSMO! ONLINE
The post Kabinet arah kajian menyeluruh cadangan sistem percukaian hibrid SST-GST appeared first on Kosmo Digital.
