Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR: Sebanyak 7.5 juta akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sehingga 30 Jun lalu sebagai persediaan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke menara gading.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd. Halim berkata, sehingga kini terdapat jumlah simpanan terkumpul sebanyak RM25.5 bilion.
Beliau berkata, simpanan SSPN itu turut menawarkan pelbagai insentif, termasuk pelepasan cukai, dividen yang kompetitif, perlindungan takaful serta jaminan kerajaan.
Jelasnya, ia sekaligus menjadi instrumen simpanan yang selamat dan mampan bagi tujuan untuk membiayai pendidikan tinggi.
“Pada tahun lalu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah pun memberikan dividen sebanyak 4.1 peratus yang mana ini merupakan dividen tertinggi dalam tempoh 11 tahun untuk penyimpan dalam SSPN.
“Jadi kita berpandangan bahawa usaha untuk membudayakan simpanan pendidikan sejak awal ini adalah pendekatan lebih mampan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan pendidikan pada masa hadapan, terutama sekali buat pelajar dalam bentuk hutang.,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab Senator Datuk Seri S. Vell Paari mengenai sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan satu skim pelaburan atau dana pendidikan nasional bagi setiap bayi yang dilahirkan.
Adam Adli berkata, kerajaan buat masa ini tidak bercadang untuk memperkenalkan skim pelaburan seperti dicadangkan.
Namun, katanya, kerajaan menyambut baik cadangan tersebut dan akan menilai dari masa ke semasa mengenai pelbagai cadangan baharu termasuk mekanisme yang boleh memperluaskan lagi akses kepada simpanan pendidikan.
“Sebarang pertimbangan untuk pelaksanaan perlu mengambil kira aspek kemampanan fiskal kerajaan, impak kewangan jangka panjang serta keberkesanan pelaksanaan,” katanya. – UTUSAN
The post 7.5 juta akaun SSPN dibuka, 25.5 bilion simpanan terkumpul appeared first on Utusan Malaysia.
