Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Simpan SSPN Plus bukan sahaja menyediakan simpanan pendidikan anak, malah dilengkapi manfaat perlindungan takaful bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga sekiranya berlaku perkara tidak diingini kepada pendeposit.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, PTPTN sentiasa prihatin terhadap kebajikan pendeposit dan keluarga yang terlibat.
“Melalui Simpan SSPN Plus, simpanan pendidikan anak turut dilengkapi manfaat perlindungan takaful yang dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga sekiranya berlaku musibah kepada pendeposit, agar impian pendidikan anak terus terpelihara.
“Ini mengingatkan kita bahawa perancangan masa depan bukan sekadar tentang simpanan pendidikan, tetapi juga perlindungan untuk keluarga.
“Dalam menghadapi kehilangan insan tersayang, manfaat Simpan SSPN Plus diharap dapat meringankan beban waris serta membantu memastikan kelangsungan kehidupan dan pendidikan anak-anak terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, PTPTN memaklumkan, tabung berkenaan mempunyai dua produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat.
“Keistimewaan Simpan SSPN Prime ialah perlindungan takaful percuma secara ringgit ke ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian/ilat kekal menyeluruh kepada mereka.
“Selain itu, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan,” menurut PTPTN.
Produk Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam pakej serendah RM30 sebulan (Pakej Intan) hingga RM500 sebulan (Pakej Berlian) dengan manfaat tambahan seperti manfaat perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, manfaat khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan anak-anak maksimum lima anak.
“Seterusnya, manfaat takaful penyakit kritikal, elaun kemasukan hospital, perlindungan takaful sehingga umur pendeposit 69 tahun dan manfaat ini tertakluk kepada pakej yang dipilih dan Syarikat Pengendali Takaful yang dipilih oleh pendeposit.
“Pembukaan akaun Simpan SSPN Plus tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan kecuali pakej Berlian, hanya perlu menjawab tiga soalan kesihatan,” kata PTPTN.
Pembukaan dan penambahan akaun Simpan SSPN boleh dibuat melalui aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat. Maklumat lanjut
Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my.
Terdahulu, PTPTN menyampaikan manfaat perlindungan takaful kepada waris pendeposit Simpan SSPN Plus, Allahyarham Azlan Idris menerusi Program Ziarah Kasih Simpan SSPN hari ini.
Sesi ziarah dan penyerahan manfaat perlindungan takaful telah disempurnakan oleh Norliza kepada isteri Allahyarham yang juga Pengurus Saluran dan Kandungan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) TV, Wan Syahrina Wan Ab Rahman.
Allahyarham Azlan merupakan Ketua Bernama Radio kembali ke rahmatullah pada 15 Januari lalu akibat komplikasi berkaitan masalah kesihatan.
Allahyarham merupakan pendeposit Simpan SSPN Plus yang telah membuka akaun untuk dua anak pada tahun 2019, iaitu akaun di bawah Pakej Delima untuk setiap seorang anak dengan komitmen sebanyak RM50 sebulan merangkumi RM40 untuk simpanan dan RM10 untuk caruman takaful.
Melalui caruman takaful RM10 sebulan, Allahyarham sebagai pendeposit Simpan SSPN Plus telah mendapat manfaat perlindungan takaful (kematian biasa) sebanyak RM30,000 dan khairat kematian berjumlah RM3,000 untuk setiap akaun, dengan jumlah keseluruhan manfaat yang diterima oleh pendeposit adalah sebanyak RM66,000. – KOSMO! ONLINE
The post Simpan SSPN Plus bantu waris ketika musibah appeared first on Kosmo Online.
