Auto Added by WPeMatico

![]()
JASIN – Selangor merekodkan jumlah aduan tertinggi menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa), dengan majoriti membabitkan isu jalan rosak dan tiang lampu tidak berfungsi.
Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam (BPA), Datuk Akbar Samon berkata, antara cabaran utama dalam pengurusan aduan berkenaan adalah menentukan pihak pemilik lokasi atau zon bertanggungjawab, sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi berkaitan.
Ujarnya, bagaimanapun pihaknya kini menyasarkan agar setiap aduan dapat diselesaikan dalam tempoh maksimum tiga bulan melalui penambahbaikan keupayaan sistem dan penyelarasan tindakan antara agensi terlibat.
“Selangor menerima aduan paling banyak, terutama membabitkan jalan rosak dan tiang lampu tidak berfungsi. Ini menunjukkan keprihatinan rakyat dalam memastikan kemudahan awam sentiasa dalam keadaan baik.
“Susulan itu, kita sedang memperkukuh keupayaan sistem SISPAA bagi memastikan setiap aduan dapat diurus secara lebih efisien, dengan sasaran penyelesaian tidak melebihi tiga bulan,” katanya ketika ditemui selepas melepaskan lebih 1,800 peserta Program Pulai Indah Fun Walk 3.0 di Padang Awam Taman Pulai Indah, di sini, hari ini.
Mengulas tahap keberkesanan penyelesaian aduan, Akbar berkata, kerumitan setiap kes turut mempengaruhi tempoh tindakan.
“Ada aduan yang boleh diselesaikan dalam masa tiga hari, manakala aduan sederhana sekitar 15 hari waktu bekerja, hanya kes yang kompleks mengambil masa lebih lama. BPA turut menjalankan kerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (JKR) bagi mempercepatkan pengesanan lokasi serta memastikan tindakan segera oleh agensi berkaitan,” jelasnya.
Tambah beliau, setiap aduan juga dipantau secara langsung untuk tujuan tindakan segera dan penilaian prestasi penyelesaian oleh agensi terlibat. – KOSMO! ONLINE
The post Selangor ‘juara’ Sispaa, jalan rosak paling banyak dilapor appeared first on Kosmo Digital.