Auto Added by WPeMatico

SUBANG JAYA – Sebuah kereta milik seorang pengurus syarikat pemaju hartanah disimbah cat oleh individu tidak dikenali dalam kejadian di Putra Heights, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian disedari ibu mentua mangsa yang memaklumkan terdapat seorang lelaki membaling cat ke arah halaman rumah sekitar pukul 7.45 pagi.
“Pengadu berusia 53 tahun kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati kenderaan miliknya yang diparkir di halaman rumah telah disimbah cat berwarna kelabu.
“Hasil siasatan di lokasi mendapati hampir keseluruhan permukaan kereta tersebut terkena simbahan cat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semakan terhadap rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal keselamatan mendapati terdapat kelibat seorang lelaki tidak dikenali berjalan kaki sambil membawa beg di kawasan perumahan berkenaan.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kereta disimbah cat, lelaki misteri dikesan melalui rakaman CCTV appeared first on Kosmo Digital.