Auto Added by WPeMatico

![]()
GEORGE TOWN – Sektor semikonduktor Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila salah satu syarikat inkubasi di bawah inisiatif Penang Silicon Design @5km+, Silicon X Sdn. Bhd. berjaya membangunkan cip Field Programmable Gate Array (FPGA) pertama buatan Malaysia.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kejayaan itu meletakkan Silicon X sebagai syarikat pertama di negara ini dan di Asia Tenggara yang menghasilkan cip FPGA sendiri, sekali gus memperkukuh aspirasi Pulau Pinang untuk merealisasikan visi ‘Dibuat oleh Malaysia’ serta mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab semikonduktor global.
Diasaskan pada 2024, Silicon X ialah firma reka bentuk dan pengeluaran litar bersepadu (IC) tempatan yang memberi tumpuan kepada pembangunan sistem pintar, pemprosesan data masa nyata, automasi, serta pecutan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML).
“Pencapaian bersejarah ini menandakan kemampuan tenaga kejuruteraan tempatan untuk menembusi sempadan teknologi global, hasil dedikasi pasukan jurutera muda yang komited membangunkan semikonduktor bertaraf dunia sepenuhnya dari Malaysia.
“Pulau Pinang berbangga menjadi tuan rumah kepada inovator seperti Silicon X yang merealisasikan aspirasi kami untuk menghasilkan cip ‘Dibuat oleh Malaysia’ yang direka, dibangunkan dan digerakkan dari Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan dua syarikat tempatan baharu, Channel Microsystems dan Tenasic Technology sebagai kumpulan kedua syarikat inkubasi di bawah program Penang Silicon Design @5km+.
“PSD@5KM+ kini menempatkan tujuh syarikat reka bentuk IC tempatan, sekali gus mendekatkan Malaysia kepada sasaran Strategi Semikonduktor Kebangsaan untuk menubuhkan sekurang-kurangnya sepuluh syarikat tempatan dalam bidang tersebut.
“Langkah ini juga mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama reka bentuk IC negara dan pemangkin penting kepada aspirasi semikonduktor Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Silicon X hasilkan cip FPGA pertama Malaysia appeared first on Kosmo Digital.