Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA NERANG – Lebih 15,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di seluruh negara berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda dalam masa terdekat.
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, pihaknya terus memantau situasi cuaca secara berterusan dan akan mengambil langkah sewajarnya berdasarkan pelan tindakan yang telah disediakan sekiranya berlaku bencana.
“Kita akan menjalankan operasi di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti berisiko berlaku banjir dan maklumat lokasi hot spot ini disalurkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). “Biasanya banjir di negara kita bermula di Pantai Barat iaitu di negeri-negeri utara Semenanjung sebelum beralih ke Pantai Timur melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Johor, kemudian mungkin akan ke Sabah. Namun, tahun ini Sabah telah dilanda banjir baru-baru ini, jadi agak sukar dijangka bencana banjir ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Latihan Pengendalian dan Penyelenggaraan Bot sempena MTL 2025/2026 di Tasik Pedu, dekat sini hari ini.
Menurut Aminurrahim, koordinasi serta perkongsian maklumat antara agensi amat penting dalam menghadapi MTL bagi memastikan persiapan rapi, khususnya dalam menggerakkan aset dan anggota ke lokasi terjejas.
“Ada kejadian banjir yang berlaku sebelum ini, kita jangka berlaku di pantai timur dan menggerakkan aset ke sana, tetapi banjir berlaku di Selangor. Jadi, kita perlu bawa pula aset dari pantai timur ke Selangor dan ini melambatkan operasi,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE
The post Lebih 15,000 anggota APM siap siaga hadapi Monsun Timur Laut appeared first on Kosmo Digital.