Auto Added by WPeMatico

![]()
KEHADIRAN bekas pengendali Harimau malaya, Kim Pan-gon tidak hanya beri impak kepada pasukan dalam meraih keputusan positif, malah turut membina keyakinan kepada pemain luar terhadap Selangor FC.
Bintang import baharu Selangor FC, Jeon Seung-min turut mengakui Pan-gon menjadi antara sebab utama kepadanya dalam membuat keputusan berhijrah ke Malaysia dan memilih Gergasi Merah sebagai kelab luar pertamanya.
“Barisan staf dan pemain di Selangor FC membuatkan saya merasakan ini adalah kelab yang tepat untuk saya. Jurulatih Kim juga memainkan peranan penting dalam keputusan saya.
“Beliau merupakan seorang jurulatih yang hebat di Korea dan saya amat berterima kasih atas peluang yang diberikan untuk menyertai pasukan ini,” katanya yang kini muncul pemain dari Korea Selatan kedua berjaya direkrut pada jendela perpindahan kedua.
Sebelum ini, Selangor sudah pun membawa masuk Kim Ji-ho, Hugo Boumous dan Vitor Pernambuco bagi memperkukuhkan pasukan pada baki saingan musim ini.
Dalam masa sama, Seung-min turut mengharapkan sokongan dapat diberikan kepadanya dan nekad untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh pihak kelab.
“Ini merupakan pengalaman pertama saya beraksi di luar negara dan saya mahu memberikan yang terbaik buat penyokong serta membalas sokongan mereka di atas padang,” katanya.
The post Pan-gon buat Selangor makin ‘laku’ appeared first on Kosmo Digital.