Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Persiapan menyambut Aidilfitri yang berbaki beberapa hari sahaja lagi menyebabkan jalan raya di sekitar ibu negara mengalami kesesakan teruk sejak malam tadi.
Tinjauan di media sosial mendapati rata-rata warga kota mengambil kesempatan pada saat-saat akhir untuk melengkapkan keperluan raya mereka dengan membanjiri pusat beli-belah di sekitar Kuala Lumpur sehingga awal pagi.
Keadaan itu turut dikongsi seorang peniaga di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang menyifatkan kehadiran pengunjung sangat luar biasa walaupun waktu sudah melepasi waktu tengah malam.
“Semua tengok belakang saya ni masih lagi ramai, orang KL tak tidur ke?,” katanya dalam satu hantaran video.
Bagaimanapun situasi ini mengundang keluhan buat mereka yang terpaksa menempuh perjalanan jauh, termasuk seorang pengguna yang sanggup memandu dari Kuantan, Pahang semata-mata untuk membeli-belah di ibu negara, namun hampa akibat kesesakan luar biasa.
Situasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) juga sangat sesak sehingga menyukarkan pergerakan pengunjung terutama yang membawa anak kecil.
“Kami stuck (tersekat) lebih satu jam untuk masuk ke Jalan Tar sahaja lepas itu sudah dapat masuk, parking pula satu hal.
“Memang crowded (sesak) malam tadi nak bergerak pun terhad, kalau bawa anak better (lebih baik) jangan bawa,” kongsi pengguna lain lagi.
Sementara itu, seorang pengguna juga meluahkan rasa kecewa selepas terpaksa ‘berkampung’ di dalam kawasan tempat letak kereta selama berjam-jam.
“Dua jam lebih sidai dalam parking tak gerak-gerak,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan lebih bijak atau menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan menjelang sambutan Aidilfitri. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Orang KL tak tidur ke?’ appeared first on Kosmo Digital.
