Auto Added by WPeMatico

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sebuah stor pembungkusan dadah jenis serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) menerusi siri serbuan di sekitar pusat bandar ini dengan hasil rampasan bernilai lebih RM1.1 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pulau Pinang itu melibatkan empat serbuan bermula malam Isnin hingga pagi keesokannya.
“Hasil operasi itu, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 33 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah berkenaan.
“Dalam serbuan itu, polis bukan sahaja menahan suspek, malah berjaya menemui stor yang dijadikan tempat pembungkusan serta penyimpanan dadah MDMA,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, antara rampasan utama ialah enam peket plastik hitam berisi serbuk disyaki dadah MDMA seberat 69.4 gram serta tiga beg plastik mengandungi 225 peket kecil dadah sama dengan berat 2.90 kilogram.
“Selain itu, polis turut menemui tiga botol plastik berpenutup mengandungi dadah disyaki MDMA dengan berat 4.16 kilogram, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan 7.13 kilogram,” jelasnya.
Kesemua suspek direman lima hari bermula 23 September hingga 27 September untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Stor bungkus dadah MDMA bernilai RM1.1 juta diserbu appeared first on Kosmo Digital.