Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Perdana Menteri menegaskan harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak kekal pada kadar RM2.15 seliter di stesen minyak.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak terus mendapat perlindungan sewajarnya daripada tekanan kenaikan harga tenaga.
Selain itu kata beliau, ia juga memastikan kestabilan kos pengangkutan dan bekalan barangan keperluan harian.
“Hakikatnya, dengan lonjakan harga minyak global ketika ini, kos sebenar diesel telah mencecah sekitar RM4.30 seliter.
“Namun rakyat di Sabah dan Sarawak hanya membayar kira-kira separuh daripada kos sebenar, manakala selebihnya ditanggung oleh kerajaan melalui subsidi,”katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, bagi tahun 2025, jumlah subsidi diesel yang ditanggung kerajaan bagi Sabah dan Sarawak adalah sekitar RM2.0 bilion.
Malah kata beliau, sekiranya harga minyak semasa kekal pada paras semasa, subsidi bagi tahun 2026 dianggarkan meningkat kepada sekitar RM4.6 bilion.-KOSMO! ONLINE
The post Rakyat Sabah, Sarawak hanya bayar separuh dari harga sebenar diesel – Anwar appeared first on Kosmo Digital.
