Auto Added by WPeMatico

![]()
SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) berikrar mengembalikan momentum pembangunan Negeri Sembilan yang tergendala sejak 2018 menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menawarkan 88 usaha di bawah sembilan teras utama.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata manifesto bertemakan #HebatkanSemulaNegeriSembilan: Kestabilan Dibina, Negeri Dijaga, Rakyat Dibela, Kemakmuran Dicipta itu disusun berasaskan pengalaman pentadbiran BN serta bertujuan menyambung semula pelbagai agenda pembangunan negeri.
Menurutnya, pelbagai kemudahan asas termasuk jaringan jalan raya, sekolah, hospital, kawasan perindustrian, Felda, Felcra dan pembangunan bandar dibangunkan ketika BN mentadbir negeri, namun banyak perancangan itu tidak diteruskan selepas parti itu tewas pada 2018.
“Pada 2018, Barisan Nasional kalah di Negeri Sembilan. Kita menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka.
“Tetapi selepas itu, banyak dasar, program dan rancangan pembangunan BN tergendala. Momentum pembangunan yang dibina sekian lama tidak diteruskan dengan rentak yang sama,” katanya pada Pelancaran Manifesto BN di sini, hari ini.
Beliau berkata, justeru BN menawarkan pelbagai komitmen bagi menghidupkan semula pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan, memperkasa kebajikan rakyat dan mempercepat pembangunan negeri.
Manifesto itu antaranya menggariskan sasaran menarik pelaburan RM30 bilion dalam tempoh lima tahun, mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan termasuk 5,000 pekerjaan berpendapatan tinggi serta melatih 20,000 peserta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain itu, BN berjanji mengekalkan Negeri Sembilan sebagai negeri sifar miskin tegar, melaksanakan inisiatif satu DUN satu ambulans, menawarkan 100 Biasiswa Khas kepada pelajar cemerlang setiap tahun, memberikan lesen penjaja percuma selama lima tahun, membina 25,000 unit rumah dan kediaman serta tidak menaikkan cukai pintu sepanjang tempoh lima tahun.
Manifesto itu turut merangkumi 15 inisiatif Skim Salam Sejahtera serta cadangan penubuhan Unit Penyelarasan Pemantauan Pelaksanaan Manifesto bagi memastikan setiap janji dipantau dan pelaksanaannya diukur.- KOSMO! ONLINE
The post BN tampil manifesto dengan 88 usaha, tekad ‘Hebatkan Semula Negeri Sembilan’ appeared first on Kosmo Digital.
