Auto Added by WPeMatico

![]()
CHERAS – Seorang wanita warga Vietnam menjadi mangsa samun ketika sedang sembahyang di sebuah tokong berhampiran padang permainan di Taman Sri Bahtera di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mangsa didatangi seorang lelaki sebelum disamun dan kehilangan beberapa barangan berharga dengan nilai kerugian dianggarkan hampir RM8,000.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, hasil siasatan pantas membawa kepada penahanan suspek dalam tempoh kurang 10 jam selepas laporan diterima.
“Sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras telah menjalankan operasi dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun.
“Tangkapan dilakukan pada hari yang sama kira-kira pukul 9.15 malam di sekitar kawasan Taman Sri Bahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek yang dipercayai pernah bekerja sebagai pembantu gerai menjual burger di tepi jalan dan tidak mempunyai pekerjaan tetap itu turut didapati memiliki 12 rekod lampau membabitkan kes jenayah serta dadah.
“Hasil semakan mendapati mangsa mengalami kerugian melibatkan sebuah telefon bimbit iPhone 17 Pro Max, sepasang AirPods serta wang tunai RM150,” katanya.
Tambah beliau, suspek telah dibawa ke Mahkamah pada 20 Januari bagi tujuan permohonan reman dan mahkamah membenarkan tahanan selama empat hari sehingga 23 Januari 2026.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan, dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Disamun ketika sembahyang di tokong, suspek diberkas kurang 10 jam appeared first on Kosmo Digital.