Auto Added by WPeMatico

![]()
SUNGAI PETANI – Lelaki warga China yang dijatuhi hukuman penjara dan denda di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memandu kereta secara melawan arus dilaporkan meninggal dunia petang ini.
Lu Xun, 55, yang juga pengusaha kilang plastik meninggal dunia kira-kira pukul 5.30 petang tadi setelah selesai menjalani hukuman penjara tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, lelaki warga China itu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta di sini.
“Sebaik dibebaskan selepas menjalani hukuman di lokap polis di Mahkamah Majistret/Sesyen Sungai Petani dan menjelaskan denda dikenakan, dia dibawa keluarganya mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
“Pihak kita menerima makluman berkaitan kematiannya daripada pengurusan hospital petang tadi dan sedang menunggu hasil laporan bedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Sepanjang prosiding pendakwaan membabitkannya pagi tadi, lelaki terbabit dilihat mengalami kesukaran untuk berjalan, emosi tidak stabil dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak dari lokap ke kamar mahkamah. Dia dikatakan menghidap diabetes.
Sementara itu, peguam yang mewakili tertuduh pada prosiding itu, Chong Seng Ming ketika dihubungi berkata, dia menerima berita itu daripada anak perempuan mangsa sejurus selepas bapanya meninggal dunia petang tadi.-KOSMO! ONLINE
The post Lelaki China meninggal dunia selepas dipenjara sehari, denda RM10,000 appeared first on Kosmo Digital.
