Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Seorang gadis tempatan berusia 21 tahun yang menetap di Tebrau, Johor disyaki menjadi mangsa sindiket ‘love scam’ selepas dilaporkan hilang sejak April lalu.
Menurut abang mangsa dikenali Qi, 25, ibu saudaranya ada menerima panggilan telefon daripada adiknya ketika mangsa berada di Bangkok menerusi aplikasi Whatsapp dan meminta wang berjumlah RM1,700 kononnya untuk membeli barangan.
“Ibu saudara terus telefon dia (adik), tetapi ketika itu seorang lelaki warga China yang menjawab panggilan. Dia perkenalkan diri sebagai teman lelaki adik dan menyatakan adik tidak mahu bercakap dengan mana-mana ahli keluarga,” katanya pada sidang akhbar anjuran Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini hari ini.
Menurut Qi, wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi adiknya dan perbualan itu adalah komunikasi terakhir antara mereka.
“Kami syak lelaki itulah yang membawa adik saya hingga dia hilang. Kami buat semakan dengan Kedutaan Malaysia di Bangkok dan memang sah ada rekod dia keluar dari Lapangan Terbang Senai ke Bangkok, tetapi tiada rekod keluar dari sana,” katanya.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, berdasarkan kes-kes sebelum ini, mangsa yang tiada rekod keluar dari Thailand biasanya telah diseludup masuk ke Myanmar melalui laluan tidak sah atau dikenali sebagai ‘jalan tikus’.
“Kalau mengikut pengalaman kami, kebiasaannya kalau kes begini, kebiasaannya mangsa akan diseludup masuk ke Myanmar menerusi jalan tikus.
“Jadi abang dia datang sini hari ini, untuk mohon bantuan cari adiknya kerana mereka sudah tidak berkomunikasi sejak April. Mungkin dia dikawal atau mungkin dia tiada telefon untuk berkomunikasi,” katanya.
MHO turut meminta orang ramai yang mengetahui lokasi mangsa untuk tampil memberi maklumat bagi mempercepatkan usaha menyelamat.
“Kita terpaksa dedahkan wajah dan nama mangsa atas persetujuan keluarga kerana tidak tahu lokasi sebenar dia berada. Jika ada yang tahu, tolong bantu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kami syak lelaki itu bawa lari adik’ appeared first on Kosmo Digital.