Auto Added by WPeMatico

![]()
Inisiatif, usaha gigih dan motivasi serta tidak kenal penat lelah menjadikan Datin Barupawati Utamaju Baharum, penulis yang agak unik dan menarik apabila membicarakan mengenai pembabitannya dalam penulisan sastera.
Beliau sentiasa menulis tidak kira masa apabila datang ilham , otaknya ligat bagai air yang mengalir dan mencurahkan ilham tersebut di atas kertas dan akhirnya terhasillah karya sajak.
“Kadang-kadang ilham sentiasa datang, ilham ada sahaja dalam kepala, dalam hati apabila ada sahaja masa terluang (maka) saya menulis,” ujarnya yang pernah menghantar puisi berjudul Ogos dan disiarkan dalam majalah Dewan Sastera pada 1973. Beliau seorang penulis, penyair dan tokoh korporat yang prolifik dengan penulisan sastera serta penglibatannya dalam bidang perniagaan pengawal keselamatan.
Beliau menghasilkan lebih 400 puisi yang dimuatkan dalam buku antologi dan koleksi sendiri yang telah diterbitkan.
Mendapat pendidikan asas dalam bidang sains dan mengambil jurusan ekonomi tidak menghalang Barupawati menceburi bidang sastera dan penulisan.
Dilahirkan di Kuala Lumpur dan membesar di Lenggeng Negeri Sembilan, beliau dibesarkan dalam keluarga yang menyuburkan bidang sastera terutama bapanya yang memberi penekanan kepada genre puisi.
Barupawati berkata, jiwa penulis disuburkan dalam dirinya rentetan usaha gigih bapanya yang menggalakkan keluarga mereka terlibat dalam sastera meski pun hanya di rumah.
Kata beliau, bapanya sering pergi ke rumah rakannya meminjam buku sastera, membawa balik ke rumah mereka dan meminta anak-anaknya membaca buku berkenaan.
Pendekatan tersebut menurut Barupawati membawanya berjinak-jinak dalam bidang sastera kepada beliau dan kakak sulungnya.
Malah kata beliau, apabila tidak ada acara sastera, keluarga mereka diketuai bapanya akan mengadakan program baca puisi di rumah mereka dan akhirnya usaha tersebut menjadi faktor utama beliau bersama kakaknya sukakan program baca puisi.
Meski pun beliau cenderung kepada subjek Matematik dan Sains di bangku sekolah dan mengambil jurusan ekonomi semasa di Universiti Malaya (UM), minat tersebut terus dikembang dan disuburkan.
Apatah lagi semasa di UM, beliau mendapat galakan seorang pensyarah bidang penulis iaitu Dr. Saleeh Rahamad yang kini Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA).
Kata beliau, Dr. Saleeh menasihatinya jika mahu mengembangkan bakat dalam penulisan, perlulah bergaul dengan ramai penulis senior.
Maka, selepas mendapatkan nasihat tersebut, Barupawati sering menghadiri Program Baca Puisi PENA di Rumah PENA di ibu negara. Program bulanan tersebut dianjurkan PENA sejak berpuluh tahun setiap bulan yang menjadi platform penyair baharu dan senior membaca puisi dan dihadiri penggemar genre puisi tempatan.
Minat Barupawati berkembang ekoran minatnya menghadiri program tersebut, dan beliau secara perlahan-lahan bertekad menulis puisi secara serius hasil pemerhatiannya dan minat yang dijana daripada program PENA berkenaan.
Dalam pada itu, beliau yang pernah menjadi guru mengajar Subjek Matematik dan Bahasa Melayu di sebuah sekolah di Jalan Ipoh turut menggalakkan pelajarnya yang mengambil subjek Bahasa Melayu supaya melibatkan diri dalam aktiviti sastera.
Selepas mendirikan rumah tangga, beliau kemudiannya meninggalkan tanah air kerana mengikuti suaminya menyambung pengajian di Amerika Syarikat (AS) dan ruang masa yang terluang itu digunakan sepenuhnya untuk menulis puisi.
Kata Barupawati, peluang mengembara ke negeri orang menyebabkan ilham menulis puisi datang mencurah-curah dan ketika itulah beliau begitu prolifik menghasilkan puisi.
Malah katanya, banyak puisi ditulis hasil pengembaraannya ke negara luar kerana pemandangan dan cara kehidupan masyarakat di sana mencetuskan sesuatu untuk dinukil di atas kertas sebagai karya sastera.
Namun bukan itu sahaja, dan kerana cara hidup serta pemandangan luar negara itu bukan satu satunya asas kepada penulisannya. Dalam masa sama, beliau juga menjadikan penulis tersohor seperti Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Rahman Shaari dan penulis Adibah Amin sebagai mentornya dalam bidang penulisan.
Falsafahnya dalam penulisan agak mudah. Katanya, ramai ingin menjadi lilin yang membakar diri tetapi sifat tersebut terlalu perlahan dan apinya tidak terlalu menyerlah.
Katanya lagi, ramai pula mahu menjadi bunga api yang mengeluarkan api bergemerlapan tetapi cahayanya agak kelam dan muncul secara pantas dan hilang tiba-tiba.
“Maka saya memilih menjadi cermin yang memberitahu siapa kita dan menggambarkan kita secara realiti, secara jujur,” ujarnya.
Beliau menasihati golongan muda yang ingin berkecimpung dalam bidang penulisan supaya mengamalkan sikap rajin membaca serta menulis apa sahaja yang terlintas dalam kotak pemikiran dan gilaplah karya berkenaan perlahan-lahan menjadi sesuatu yang indah dan ada nilai estetika bagi menjadikannya karya sastera bermutu.
Berkongsi mengenai keunikan namanya Barupawati berkata, nama tersebut adalah gabungan beberapa perkataan idea bapanya bagi menggambarkan keperibadian beliau sebagai seorang wanita dan kecenderungannya dalam sastera. Barupawati telah menghasilkan empat buah buku genre puisi iaitu tiga koleksi sendiri dan sebuah lagi antologi. Antara buku terkenalkan ialah Bagai Helang
Tetap Pulang yang menerima pengiktirafan sebagai sajak paling panjang, menyumbang dalam buku Bagai Helang Tetap Pulang, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Kuala Lumpur (2018)
Puisi Untuk Maharani, Pejuang Media (2020), Tidak Mentari Mengejar Rembulan, Buku PENA Malaysia Madani , Kuala Lumpur (2025) dan Penyelenggara bagi buku Antologi Puisi Pejuang Hartanah berjudul Mengukir Nama di Atas Peta, (2023).
Sajak-sajak beliau juga tersiar dalam beberapa penerbitan dalam dan luar negara, akhbar dan majalah tempatan selain Antologi Puisi Enam Penyair: Bilah Bilah Hujan Membunuhku, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2022 yang mengandungi 15 puisi beliau. Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa PENA. –UTUSAN
The post Barupawati tokoh korporat cintakan nilai estetika dalam sastera appeared first on Utusan Malaysia.

