Auto Added by WPeMatico

![]()
KLANG – Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyamun seorang wanita berusia 37 tahun dengan mengambil beg tangan mangsa yang mengandungi telefon bimbit jenis Honor dan wang tunai RM110 di kawasan parkir sekitar daerah ini, kira-kira pukul 2 pagi pada 18 Januari lalu.
Kedua-dua tertuduh iaitu R. Sathiyaseelan, 32, dan M. Balaraj, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan bersama dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Sathiyaseelan yang juga pekerja p-hailing juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa samun selain mencederakannya di lokasi dan waktu yang sama mengikut Seksyen 376 (2) (a) Kanun Keseksaan.
Kedua-dua tertuduh turut membuat pengakuan sama di hadapan Majistret A. Karthiyayini apabila didakwa bersama-sama menyamar sebagai anggota polis juga di lokasi dan waktu sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar dan Nadia Syuhada Rosli, sementara kedua-dua tertuduh diwakili K. Nathiya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan RM20,000 kepada Sathiyaseelan dan RM10,000 kepada Balaraj dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, manakala sebutan semula kes pada 5 Mac depan. – KOSMO! ONLINE
The post Dua sahabat dituduh samun wanita 37 tahun appeared first on Kosmo Digital.