Auto Added by WPeMatico

SEREMBAN – Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai mencederakan rakan serumahnya menggunakan pisau berpunca daripada salah faham di Taman Rasah Jaya di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, bertindak atas maklumat suspek telah ditahan di Hospital Sungai Buloh semalam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.
“Tangkapan telah dibuat terhadap suspek lelaki berusia 23 tahun yang merupakan rakan serumah mangsa dan suspek utama dalam kes ini.
“Punca kejadian adalah disebabkan salah faham. Suspek ditahan di hospital kerana terlibat dalam kemalangan selepas kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohamad Hatta, sebelum itu polis menerima laporan polis daripada seorang lelaki warga tempatan pada pukul 6.24 petang, Jumaat lalu memaklumkan telah menjumpai mangsa seorang lelaki berusia 31 tahun dalam keadaan berlumuran darah di Taman Rasah Jaya di sini.
“Terdapat kesan kelar di bahagian leher mangsa dan dia telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan lanjut,” katanya.
Jelas beliau, suspek telah ditahan reman selama lima hari di Mahkamah Seremban untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta tampil untuk memberikan keterangan di mana-mana balai polis berhampiran dan dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi berkaitan insiden ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Suspek guna pisau cederakan rakan serumah ditahan polis appeared first on Kosmo Digital.