Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Perdana Menteri menzahirkan ucapan takziah kepada kepada keluarga anggota-anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan, pagi tadi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak berkuasa diseru untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh ke atas insiden berkenaan.
Pada masa sama katanya, bantuan sewajarnya perlu disalurkan kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat.
“Saya turut mendoakan agar kesemua yang cedera dalam insiden ini diberikan kesembuhan sesegera mungkin selain dipermudahkan segala urusan,”katanya dalam satu kenyataan di aplikasi X.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, 10 anggota FRU Unit 5 Ipoh dilaporkan maut dalam nahas membabitkan lori muatan pasir di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak. hari ini.
Antara mangsa yang maut ialah Sarjan S. Perumal, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd. Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.
Difahamkan, kenderaan membawa 15 anggota FRU termasuk penumpang dan pemandu itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas tugas kawalan Op Chariot di Teluk Intan, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memberitahu, kesemua anggota FRU yang terbabit dalam kemalangan tersebut dari Unit 5 Sungai Senam, Ipoh.- KOSMO! ONLINE
The post Nahas FRU: Anwar mahu siasatan menyeluruh, bantuan kepada keluarga appeared first on Kosmo Digital.