Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Sejumlah 38 buah sekolah dengan 230 murid dikenal pasti terjejas akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda Sabah sejak minggu lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah itu melibatkan 33 sekolah rendah dan lima sekolah menengah termasuk Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya.
Kata beliau, lima buah sekolah digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah iaitu dua sekolah rendah dan tiga sekolah menengah.
“Secara keseluruhannya, seramai 230 murid terkesan namun tiada guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) atau pegawai dilaporkan. Langkah keselamatan segera telah diambil bagi mengosongkan blok bangunan dan kuarters pekerja di kawasan berisiko,” katanya selepas Sesi Townhall Anti Buli #GenerasiTanpaBuli Peringkat Selangor di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Tambah Fadhlina, pihaknya sedang mempertimbangkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya keadaan tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif menjelang pembukaan semula sekolah minggu depan.
“Ketika ini persiapan kita adalah pembersihan sekolah bagi melihat kepada kelancaran pembukaan sekolah. Kita juga melihat kepada akses pendidikan yang dapat dilaksanakan di Sabah. Walaupun keadaan cuaca tidak menentu, pendidikan masih keutamaan dan paling penting keselamatan anak-anak dan warga pendidik kita,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Banjir Sabah: 38 sekolah, 230 murid terjejas appeared first on Kosmo Digital.