Auto Added by WPeMatico

![]()
PARIT BUNTAR – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3.7 juta bagi melaksanakan program Pasar Sejahtera Rakyat Perak di seluruh negeri tahun ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan di bawah Fasa 1, Langkah Mitigasi Impak Krisis Asia Barat Negeri Perak bagi tempoh April hingga Jun 2026.
Katanya, inisiatif jualan barangan keperluan pada harga bersubsidi itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
“Menyedari tekanan kos sara hidup akibat krisis tenaga global, kerajaan negeri melancarkan Pasar Sejahtera Rakyat Perak bagi membantu orang ramai mendapatkan barangan asas pada harga lebih rendah.
“Inisiatif ini melibatkan penjualan barangan kering dan basah pada harga sekurang-kurangnya lima peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian di Pekan Baru, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, peruntukan tersebut merangkumi RM2 juta bagi pelaksanaan Pasar Sejahtera Rakyat Perak melalui Pejabat Daerah dan Tanah di setiap daerah secara berkala setiap bulan.
Katanya, sebanyak RM1.2 juta pula diperuntukkan bagi Jualan Sejahtera Rakyat yang dilaksanakan di kesemua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Yayasan Bina Upaya dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC).
Tambah beliau, pelaksanaan program tersebut diselaraskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah dan diperluas ke semua kawasan DUN bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat di peringkat akar umbi. – KOSMO! ONLINE
The post RM3.7 juta untuk Pasar Sejahtera Rakyat Perak – Saarani appeared first on Kosmo Digital.
