Auto Added by WPeMatico

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan berbincang dengan rakan sejawatannya dari Russia, Vladimir Putin mengenai pertukaran wilayah sebagai sebahagian daripada usaha menamatkan perang di Ukraine, lapor saluran berita Al Mayadeen.
Trump kelmarin meluahkan rasa kecewa terhadap Volodymyr Zelensky selepas Presiden Ukraine itu bertegas bahawa sebarang perjanjian yang melibatkan konsesi wilayah perlu diluluskan melalui referendum nasional.
“Saya sedikit terganggu dengan kenyataan Zelensky di mana saya perlu mendapatkan kelulusan perlembagaan,” kata Trump semasa sidang akhbar di White House semalam.
Trump turut menyelar Zelensky yang disifatkan mempunyai kuasa untuk ‘membunuh semua orang’, namun masih memerlukan kelulusan untuk bertukar wilayah dengan Russia.
Sementara itu, diplomat-diplomat Eropah menyuarakan kebimbangan terhadap rancangan Washington mengenai tuntunan wilayah Russia di Ukraine dan syarat-syarat gencatan senjata yang bakal dirundingkan.
Ada antara mereka mendakwa bahawa hubungan rapat Trump dengan Putin boleh membawa kepada konsesi yang berisiko.
Trump membentangkan visinya untuk perjanjian damai tersebut sambil menyatakan bahawa ia memerlukan kompromi daripada kedua-dua pihak.
Sementara itu, Trump dijemput oleh Canselor Jerman, Friedrich Merz untuk menyertai rundingan maya kecemasan dengan pemimpin-pemimpin Kesatuan Eropah (EU) dan Zelensky esok sebelum pertemuan beliau dengan Putin pada Jumaat ini.
Tambah Trump, beliau berusaha untuk mengatur rundingan langsung antara Putin dan Zelensky, manakala pejabat Merz dalam satu kenyataan berkata, rundingan maya akan menumpukan kepada Russia dan persiapan rundingan damai serta isu berkaitan tuntutan wilayah. – AGENSI
The post Trump, Putin runding pertukaran wilayah Ukraine appeared first on Kosmo Digital.