Auto Added by WPeMatico

Kelas ini merupakan kursus elektif, terbuka kepada pelajar Bacelor Sains Akuakultur, UPM. Tahun ini, seramai 10 pelajar mendaftar dan berpeluang mengikuti amali lapangan ke Tasik Pedu, Kedah.
Ini adalah jaminan bahawa kursus UPM bukan sahaja merangkumi teori di bilik kuliah, malah melibatkan amali lapangan ke tasik, sungai dan menerokai alam semula jadi.
Ketika trip, masing-masing bersemangat membawa peralatan memancing termasuklah pelbagai jenis umpan. Kebanyakan set memancing baru sahaja dibeli kerana rata-rata pertama kali memancing.
Perjalanan mengambil masa hampir 10 jam disebabkan kesesakan di lebuh raya ketika musim cuti umum. Pagi esoknya, barulah kami tiba di Tasik Pedu.
Tasik Pedu menyambut ketibaan kami dengan ketenangan yang menakjubkan.
Tasik dikelilingi hutan hijau yang masih terpelihara, jauh dari hiruk-pikuk kota.
Airnya yang kehijauan jernih dan tenang, menyimpan 1,001 rahsia penghuni di dasarnya.
Dari Jeti Seri Mahawangsa, kami menaiki houseboat yang bergerak perlahan. Kemudian, kami sampai ke sebuah pulau kecil yang dinamakan Pulau Survival.
Di atas pulau, terdapat beberapa pondok dan bilik kecil yang menjadi tempat istirehat kami sepanjang trip di sana.
Terik matahari seolah-olah terubat, apabila sesekali kami dihembus angin tasik yang mendamaikan. Setiap kali angin bertiup terasa nyaman, satu permulaan yang baik untuk pelajar memulakan sesi pancingan.
Pembelajaran bermula
Kami memulakan sesi pancing dasar untuk ikan lampam yang banyak berlegar di sekeliling houseboat dan pulau.
Roti dan dedak merupakan umpan utama dan ada yang membawa ‘doh’ roti canai sebagai kelainan.
Kawasan sekitar pulau dikatakan mempunyai kedalaman sehingga 20 kaki, cukup sesuai untuk menarik pelbagai spesies ikan. Pelajar yang masih baharu dengan dunia memancing akan dibantu oleh staf universiti yang mahir untuk membuat ikatan mata kail dan teknik asas melempar umpan, selain tip dan langkah keselamatan.
Ada pelajar yang sudah pandai memancing memilih untuk menaiki bot bersama tekong untuk mengilat menggunakan gewang.

Mereka mencari lubuk ikan di kawasan ‘charok’ seperti yang disebut oleh orang tempatan dengan harapan untuk merasa tarikan ikan toman atau sebarau.
Malam Sabtu menjelma dengan suasana sunyi, hanya ditemani bunyi cengkerik di kawasan hutan, dan sesekali percikan air tasik menandakan ada ikan sedang bermain air.
Lampu sorot houseboat memantul cahaya ke permukaan tasik, langit cerah tetapi tiada kelibat bulan.
Aktiviti memancing diteruskan, kali ini dengan sasaran ikan baung yang nocturnal iaitu aktif di waktu malam, selain sasaran mudah iaitu ikan lampam. Seekor demi seekor ikan lampam dinaikkan. Bagi pelajar, ini merupakan nikmat mengail yang tidak terhingga.
Peristiwa mencuit hati
Seorang pelajar yang sedang casting ternampak kelibat ikan toman di permukaan air, seolah-olah sengaja menunjuk diri. Gewang tidak langsung disentuh, ikan toman ghaib ditelan kegelapan malam.
Seorang lagi pelajar hampir mendaratkan ikan kaloi. Ramai yang menjadi saksi menyatakan saiznya besar.
Malangnya ia terlucut, mungkin kerana mata kail yang digunakan terlalu kecil. Kekecewaan pelajar terubat dengan gelak tawa dan usikan rakan-rakan.
Keesokan harinya suasana menjadi lebih santai. Selain memancing ikan lampam, kami berenang di tasik, berkayak dan menaiki paddle boat. Kesemua aktiviti air dilakukan dengan pemakaian life jacket sebagai langkah keselamatan.
Di tengah tasik, kami belajar berasimilasi dengan alam, merasai hembusan angin dan ketenangan air tasik yang sudah lama tidak dirasai di ibu kota.
Dalam trip ini, pelbagai spesies ikan berjaya didaratkan, antaranya termasuklah lampam sungai, temperas, patung, kalui, seluang dan yang paling menarik, ikan kenying.
Walaupun kebanyakan hasil tangkapan adalah kecil, namun ia tetap membawa kepuasan tersendiri, lebih-lebih lagi buat pelajar yang pertama kali memancing.
Tidak lengkap tanpa cerita tentang makanan. Lauk-pauk kampung yang disajikan oleh pengusaha benar-benar ‘padu’.
Ikan lampam pekasam, baung masak lemak, ulam-ulaman bersama sambal belacan, sebarau masak tiga rasa, ayam dan daging barbeku, sosej, fries dan coleslaw.
Ditambah dengan bubur kacang durian, kopi O kampung dan teh O nipis, menu santapan yang kami teringat-ingat hingga ke hari ini.
Menjelang tengah hari, kami berkemas untuk pulang. Boatman membawa kami kembali ke jeti dan menikmati makan tengah hari terakhir di Tasik Pedu.
Walaupun ada pelajar yang merasa sedikit kecewa kerana toman dan sebarau yang diidamkan tidak dapat, tetapi pengalaman keseluruhan sebenarnya jauh lebih berharga.
Trip kali ini membuka lembaran baharu buat pelajar UPM ini. Ia bukan sekadar tentang memancing, tetapi tentang pembelajaran seumur hidup seperti persahabatan, kerjasama, hormat menghormati, keberanian, selain menghargai alam sekitar.
The post Amali lapangan pelajar UPM di Tasik Pedu appeared first on Kosmo Digital.
