Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang berdaulat dan tiada mana-mana pihak mempunyai hak untuk menuntut negeri itu.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, Pulau Pinang malah mempunyai gabenor, rakyat, bendera dan lagu sendiri.
Justeru, beliau mempersoalkan kenyataan Menteri Besar Kedah bahawa Kedah dalam proses menuntut Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah.
“Permintaan saya janganlah jadikan isu ini polemik dan bahan kempen pilihan raya. Perkara ini penting.
“Kita tidak mahu timbul sebarang perbalahan antara rakyat Kedah dan Pulau Pinang. Ramai juga rakyat Kedah mencari rezeki di Pulau Pinang,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Terdahulu, Rayer berkata, Malaysia telah merdeka lebih 60 tahun, maka isu tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan.
Kata beliau, rakyat Malaysia sejak di bangku sekolah diajar Malaysia terdiri daripada 13 negeri termasuk Sabah dan Sarawak dan tiga Wilayah Persekutuan.
Justeru, beliau meminta kerajaan menaik taraf sistem pemetaan untuk memastikan semua pihak termasuk murid sekolah faham bahawa Pulau Pinang sebuah negeri yang berdaulat. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Pulau Pinang negeri yang berdaulat’ appeared first on Kosmo Digital.