Auto Added by WPeMatico

![]()
GEORGE TOWN: Boustead Holdings Berhad menyasar untuk mengembangkan rangkaian Royal Chulan Hotels & Resorts ke peringkat antarabangsa sebagai sebahagian daripada pelan pertumbuhan syarikat itu menjelang ulang tahun ke-200 penubuhannya pada 2028.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, perancangan itu bagaimanapun masih di peringkat awal dan akan dimulakan secara berperingkat selepas syarikat memperkukuhkan operasi pengurusan hotel di dalam negara.
Menurut beliau, antara lokasi yang sedang dikenal pasti ketika ini ialah di Madinah, Arab Saudi dan China, selain beberapa negara lain yang berpotensi untuk memperkukuhkan jenama Royal Chulan di peringkat global.
Ketika ini katanya, Boustead telah mengambil alih pengurusan sebuah hotel di Janda Baik, Pahang manakala sebuah lagi di Taiping, Perak akan dimuktamadkan sedikit masa lagi.
“Kita akan lihat kejayaan kita di sana serta kepakaran dalam bidang perhotelan sebelum membawa jenama Royal Chulan ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Boustead 200 – Year Journey, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Boustead Hotel and Resorts Sdn. Bhd., Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, selain kedua-dua hotel yang telah dan sedang diambil alih itu, terdapat lima lagi hotel yang sedang dalam proses perbincangan untuk diuruskan di bawah jenama Royal Chulan.
“Kita mahu mewujudkan sebuah jenama hotel yang membawa nilai dan identiti Malaysia. Kita bukan sekadar menguruskan hotel sedia ada, tetapi mahu mengembangkan jenama Royal Chulan ke peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN
The post Jenama Royal Chulan diperkukuh, sasar tembusi rangkaian hotel luar negara appeared first on Utusan Malaysia.
