Auto Added by WPeMatico
Rombakan Kabinet: Anwar belum putuskan tawaran Anthony Loke

![]()
SHAH ALAM – Keputusan sama ada rombakan Kabinet akan berlaku susulan tawaran peletakan jawatan Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan masih belum diputuskan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau terlebih dahulu mahu bertemu dan mendengar sendiri pandangan Anthony sebelum membuat sebarang keputusan berhubung tawaran tersebut.
“Dia ada maklum kepada saya. Saya belum sempat berbincang apa pun lagi. Kena dengar pandangan dia, kena faham.
“Sebab dia seorang yang ada prinsip dan memang dari awal membantah peraturan yang memberi gambaran seolah-olah kita ini lemah atau longgar terhadap amalan rasuah, terutama apabila kita mengambil banyak tindakan lain termasuk terhadap perasuah-perasuah kecil.
“Jadi, lebih baiklah kita jumpa dia, dengar pandangan dia dan saya boleh beri keputusan,” katanya ketika ditemui pada majlis Hi-Tea Sekretariat Reunion Reformis di sini, hari ini.
Anwar berkata, Anthony dijangka menyerahkan surat rasmi berhubung tawaran peletakan jawatan itu untuk dibincangkan bersama beliau.
“Belum, belum. Dia baru bermesyuarat semalam. Dia ada maklum kepada saya dan akan bawa surat serta berbincang dengan saya. Saya kata, tak apalah, bila ada ruang.
“Hari ini saya ada di sini, kemudian ke Melaka. Esok, kalau tidak silap saya, dia ke Shanghai,” katanya.
Menurut Anwar, Anthony dijadualkan ke Shanghai pada Selasa bagi mengadakan perbincangan dengan Premier Shanghai, Gong Zheng.
Ditanya mengenai kemungkinan rombakan Kabinet susulan perkembangan itu, Anwar berkata, perkara berkenaan akan dipertimbangkan satu persatu.
“Satu-satulah,” tegasnya.
Kosmo! semalam melaporkan Anthony menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kepada Anwar susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tawaran tersebut dibuat selepas Anthony menyatakan pendiriannya berhubung keputusan pengampunan bersyarat itu. – KOSMO! ONLINE
The post Rombakan Kabinet: Anwar belum putuskan tawaran Anthony Loke appeared first on Kosmo Online.
