Auto Added by WPeMatico

![]()
JOHOR BAHRU – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memuktamadkan dasar pengharaman penuh penggunaan rokok elektronik atau vape menjelang tahun hadapan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan untuk mengharamkan vape bukan lagi persoalan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak, sebaliknya hanya menunggu masa yang sesuai.
“Isunya bukan sama ada vape akan diharamkan atau tidak, tetapi bila. Keputusan secara prinsip telah pun dipersetujui di peringkat kabinet untuk bergerak ke arah pengharaman.
“KKM menyasarkan penguatkuasaan larangan tersebut dilaksanakan selewat-lewatnya menjelang pertengahan atau sebelum akhir tahun hadapan,”katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja di Hospital Permai, di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, meskipun kementerian terlepas membentangkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini namun pihaknya yakin perkara itu akan dibawa semula untuk pertimbangan awal tahun hadapan.
Katanya, antara faktor utama yang mendorong keputusan itu adalah kebimbangan terhadap penggunaan cecair vape yang dicampur bahan terlarang dan bahan sintetik yang didapati berkait dengan kes psikosis akibat dadah serta masalah kesihatan mental yang serius.
“Saya dimaklumkan mengenai pesakit yang mengalami psikosis akibat penggunaan bahan seperti kanabis sintetik dan bahan terlarang lain, sebahagiannya diambil melalui vape,”katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Haram vape sepenuhnya tunggu masa sesuai – KKM appeared first on Kosmo Digital.