Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA: Pelajar tahun akhir Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta sejarah apabila membangunkan robot autonomi bagi mengatasi isu kutipan buah lerai sawit.
Robot tersebut berfungsi dalam mengesan dan mengutip buah lerai kelapa sawit secara automatik bagi membantu meningkatkan kecekapan operasi ladang serta mengurangkan kebergantungan tenaga buruh.
Ahmad Faris Ahmad Fuad berkata, inovasi tersebut dibangunkan bagi menangani cabaran utama industri sawit yang masih banyak dilakukan secara manual dan memerlukan tenaga kerja yang ramai.
“Proses mengutip buah lerai secara manual memerlukan pekerja mengutip setiap biji yang gugur di atas tanah, sekali gus menjadikan kerja itu mengambil masa dan memerlukan tenaga buruh yang tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, walaupun mesin kutipan bermotor sudah berada dipasaran, penggunaannya masih memerlukan operator untuk dikendalikan.
“Melalui penyelidikan ini, saya membangunkan sistem penglihatan komputer yang membolehkan robot mengesan buah lerai secara automatik.
“Platform robot telah tersedia di makmal dan saya mengintegrasikan teknologi tersebut supaya robot dapat melaksanakan tugas kutipan tanpa bergantung sepenuhnya kepada manusia,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan sektor sawit sebagai fokus penyelidikan dibuat kerana industri tersebut merupakan antara penyumbang penting kepada ekonomi negara.
“Saya melihat industri sawit mempunyai impak yang besar kepada Malaysia. Sebagai pelajar Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem, saya mahu membangunkan teknologi yang dapat membantu memodenkan sektor ini serta memberi manfaat kepada industri pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berharap lebih ramai anak muda melihat sektor pertanian sebagai bidang berteknologi tinggi yang menawarkan peluang besar untuk menghasilkan inovasi dan menyumbang kepada sektor ekonomi negara. – UTUSAN
The post Robot autonomi ciptaan pelajar UPM bantu atasi isu kutipan buah lerai sawit appeared first on Utusan Malaysia.
