Auto Added by WPeMatico

SUBANG JAYA – Satu kemalangan membongkar kegiatan pengedaran dadah selepas polis merampas dadah disyaki syabu bernilai RM7 juta yang ditinggalkan dalam sebuah kereta di tepi jalan berhampiran SS17, 13 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, kereta jenis Honda Civic terbabit didapati terbabas sebelum orang awam menghubungi polis berhubung kejadian kemalangan itu.
“Namun, pemeriksaan mendapati tiada pemandu atau penumpang di dalam mahupun di sekitar kenderaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 11 guni berisi 208 bungkus plastik dadah disyaki jenis syabu seberat 220.16 kilogram yang boleh dibekalkan kepada lebih 200,000 penagih,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan tersebut turut dijumpai kad pengenalan milik seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Mohd. Rahmat Hanaf, 32, yang dipercayai dapat membantu siasatan.
“Kenderaan yang dipandu suspek juga didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Semakan turut mendapati suspek mempunyai rekod lampau iaitu enam kes jenayah dan sembilan kes dadah,” ujarnya.
Wan Azlan meninta orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Saifullah Rosdi di talian 017-9065674 atau balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE
The post Syabu RM7 juta ditemui dalam kereta terbabas appeared first on Kosmo Digital.