Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan, Rexy Mainaky berkata, Cheng Su Yin dan Shevon Lai Jemie perlu bersiap sedia apabila berpotensi digandingkan dalam acara beregu wanita bagi saingan berpasukan badminton Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Kedua-dua pemain itu mungkin menjadi pilihan pasukan kejurulatihan sekiranya pemain beregu wanita, Noraqilah Maisarah Ramdan gagal pulih daripada kecederaan buku lali kiri.
Rexy berkata, segala keputusan akan dibuat selepas pasukan mendapat gambaran lebih jelas mengenai undian serta keadaan pemain sebaik tiba di Jepun.
“Kita belum tahu undian lagi. Apabila sampai di sana nanti, kita akan dapat gambaran lebih jelas dan duduk berbincang mengenai strategi terbaik bersama pengurus pasukan, Datuk Ng Chin Chai, Kenneth Jonasen (pengarah kejurulatihan perseorangan), barisan jurulatih serta pemain.
“Kita perlu bersedia dengan semua kemungkinan kerana acara berpasukan memerlukan perancangan rapi,” kata Rexy.
Rexy mengakui cabaran Malaysia dalam acara berpasukan kali ini bukan mudah dan skuad negara perlu menggandakan usaha bagi memburu sekurang-kurangnya tempat ke separuh akhir bagi pasukan lelaki.
“Kita perlu realistik, untuk acara berpasukan kita bukan sahaja perlu bekerja keras, tetapi perlu menggandakan usaha.
“Kita lihat pasukan seperti Hong Kong yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga pemain perseorangan lelaki yang kuat. Jadi, kita perlu memastikan pasukan berada pada tahap terbaik,” katanya.
The post Su Yin, Shevon perlu sedia digandingkan di Sukan Asia appeared first on Kosmo Online.
