Auto Added by WPeMatico

![]()
SIAPA sangka pengalaman menikmati percutian di sebuah pusat peranginan terkenal yang terletak berhampiran dengan kawasan hutan simpan menjadi pengalaman sukar dilupakan oleh Siti (bukan nama sebenar).
Pakej percutian empat hari tiga malam itu diperolehnya selepas berjaya meraih hadiah cabutan bertuah dalam sebuah majlis anjuran pejabatnya.
Sebaik tiba di lokasi, Siti tersenyum puas melihat pemandangan tasik yang luas terbentang dari balkoni biliknya di tengah-tengah kawasan hutan.
Panorama yang disajikan menjadi lebih indah kerana biliknya terletak di tingkat dua bangunan dua tingkat itu sekali gus membolehkan pemandangan sekeliling dinikmati dengan lebih jelas dan lapang.
Bagaimanapun keterujaan itu mula berubah setiap kali malam menjelma kerana hampir setiap malam ada saja gangguan yang dialami oleh Siti.
“Malam pertama saya mula terkejut kerana sekitar pukul 3 pagi, katil saya tiba-tiba bergegar seperti ada orang yang menggerakkannya.
“Disebabkan gegaran itu terlalu kuat, saya terjaga dan panik sehingga membuatkan saya duduk di atas katil sekejap untuk melihat apa yang berlaku.
“Alangkah terkejutnya tiba-tiba gegaran itu hilang dan waktu itu baru saya sedar pendingin hawa telah dipadamkan dan menyebabkan bilik berasa sedikit panas,” katanya kepada CitaRasa.
Awalnya Siti berpendapat, perkara itu hanya berlaku kerana keletihan, manakala pendingin hawa yang terpadam disebabkan masalah teknikal.
Bagaimanapun setelah diperiksa pada alat kawalan jauh dengan pihak pengurusan, tiada sebarang masalah atau ketetapan automasi sehingga menyebabkan pendingin hawa tutup pada waktu ditetapkan.
“Kalau kata siang memang tiada masalah tetapi pada waktu malam ada saja perkara-perkara aneh yang berlaku seperti pendingin hawa mati secara tiba-tiba sekitar pukul 3 hingga 4 pagi.
“Setiap malam pasti ada saja bunyi seperti duit syiling atau guli jatuh dari siling yang akan mengganggu waktu tidur. Anehnya setiap kali pukul 3 pagi pendingin hawa tertutup dan waktu itu juga rancak bermacam-macam bunyi itu kedengaran.
“Sekitar pukul 8 malam hingga tengah malam itu tiada apa-apa bunyi pun. Paling pelik bilik saya di tingkat dua dan bangunan ini hanya ada dua tingkat saja, jadi siapa yang bermain-main di atas itu.
“Kemudian sekitar waktu itu juga akan ada bunyi seperti ketukan pada pintu dan tingkap. Sejujurnya sepanjang perkara itu berlaku, saya hanya berdoa dan berzikir selain mengharapkan agar gangguan itu berhenti,” ujarnya.
Biarpun menginap sendirian di bilik, Siti tetap kuatkan hati mengharungi malam-malam di pusat peranginan itu tanpa sebarang tanggapan buruk atau menakutkan.
“Saya tidak boleh asyik berfikiran buruk kerana bimbang perasaan itu akan membuatkan saya menjadi takut kerana menginap seorang diri dan tidak boleh tidur.
“Tapi apa yang hendak dikata, sebelum berangkat pulang ada ‘hadiah’ yang ‘dia’ berikan kepada saya sewaktu malam terakhir di sana,” katanya.
Kongsi Siti, kelihatan satu lembaga hitam yang gelap pekat, seakan-akan bayangan seseorang sedang berdiri tegak berhampiran dengan katilnya.
Lembaga itu tidak bergerak, tetapi seketika kemudian lenyap dan muncul semula di celah-celah dinding, sekejap ada, sekejap tiada, seolah-olah sedang mengintainya dari sebalik dinding itu, memerhatikan setiap pergerakannya.
Tidak mampu melakukan apa-apa, Siti hanya duduk kaku dan berdoa agar lembaga itu hilang dan tidak mengganggu dirinya.
“Malam terakhir itu boleh dikatakan saya tidak boleh tidur dengan nyenyak langsung. Saya hanya berdoa dan terus berdoa dan syukur lembaga itu tidak lagi muncul sekitar pukul 4 pagi.
“Pada waktu itu juga pendingin hawa sekejap hidup, sekejap mati seperti tidak menentu. Saya tidak berbuat apa-apa, hanya duduk bersandar di kepala katil sambil memeluk lutut dalam selimut,” ujarnya.
Pagi itu, Siti bersiap sepantas kilat dan tidak sabar untuk pulang, seolah-olah setiap detik yang berlalu terasa begitu lama sebelum dia dapat kembali ke pangkuan keluarga.
The post Gangguan misteri pukul 3 pagi di resort ternama appeared first on Kosmo Online.
