Auto Added by WPeMatico

MENJELANG detik penyatuan sebagai suami isteri, selebriti sensasi Erra Fazira bersama bakal teman hidupnya mengotakan janji membongkar detik istimewa hubungan mereka sehingga sepakat hidup berdua.
Jika setahun lalu wanita sinonim julukan Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu lebih selesa menyimpan rahsia hati, kini program audio siar Kasions yang direalisasikan dengan ahli perniagaan, Ezwan Zain atau Mr. E menjadi gelanggang perkongsian cerita.
Sejak pengumuman pernikahan serentak pelancaran video muzik Cinta Abadi juga lagu tema hari bahagia mereka, Erra sudah berjanji segala-galanya akan dibongkar di saluran YouTube terbabit.
“Majlis pernikahan kami sederhana yang disusuli acara persandingan untuk ahli keluarga pada 13 Disember, manakala majlis resepsi membabitkan kenalan adalah pada 27 Disember ini.
“Segala perincian mengenai lokasi akad nikah dan kenduri akan kami luahkan dalam podcast kami iaitu Kasions, begitu juga dengan kisah lain yang belum pernah didedahkan kepada umum.
“Saya dan Ezwan akan bercerita banyak perkara dari kami berjumpa semula di radio Sinar FM pada 2022 sehingga mengenal sikap masing-masing terutama di awal perkenalan. Banyak rahsia bakal terbongkar,” katanya sambil tertawa.
Pada majlis tersebut, Erra turut membawakan lagu yang diterbitkan pada 1994 iaitu daripada album pertama juga simbolik bingkisan cinta buat bakal suaminya.

Selepas pelancaran, pemilik nama lengkap itu mengumumkan sesuatu yang dinantikan ramai iaitu pengesahan desas-desus berkenaan tarikh perkahwinannya yang hangat diperkatakan sehari sebelumnya.
Dengan suara bergetar, dimaklumkan selepas hampir 11 tahun hidup sendiri, dia kini menemui lelaki istimewa yang akan menjadi teman setia meniti hari-hari ke penghujung usia.
Linangan air mata wanita yang pernah dua kali kecundang dalam perkahwinan itu turut membuatkan seluruh hadirin di dewan utama sebuah hotel di Kuala Lumpur itu menahan sebak.
Begitupun, seperti dijelaskannya, itu bukan air mata sedih, sebaliknya mutiara jernih terbabit merupakan perasaan gembira dengan fasa baharu yang bakal dilalui nanti.
Justeru, episod pertama Kasions yang disiarkan pada 5 Disember lalu menjadi perhatian, sekali gus secara simboliknya sebagai sesi perkenalan khalayak dengan bakal suami.
Disifatkan sebagai lelaki yang ‘simple’ selain serius dalam perhubungan, Ezwan dikatakan tidak seperti individu lain kerana bukan jenis mendesak untuk mendekatinya.
“Dia tak nampak macam lelaki gatal yang ‘over’, nampak saya DM (mesej) terus bertalu-talu (balasan) masuk. Dia relaks, tapi selepas itu nampak dia serius (hubungan),” katanya dalam episod pertama Kasions.
Bukan sekadar kisah Ezwan, 44, memancing hatinya dengan kuih putu mayam enak ketika lelaki itu menjamu penyampai radio, malah ada juga diselitkan cerita kali pertama dia bergayut di telefon selama enam jam.
“Saya bukan kaki borak dalam telefon. Apa-apa mesej saja. Dia (Ezwan) nak ‘call’ pula. Tahu tak berapa lama? Pertama kali dalam hidup saya yang dah masuk 50 tahun masa tu saya bercakap dalam telefon selama enam jam.

“Saya kata (dalam hati) ‘dia ni bila nak letak telefon’. Tapi saya juga jenis wanita sopan, layankan. Sampaikan saya boleh letak tepi telefon dan buat kerja lain,” ujarnya.
Menerusi semakan, dalam tempoh sehari lebih episod terbabit meraih hampir 120,000 tontonan dengan sekitar 3,000 komen peminat yang menyukai keserasian mereka.
Dari Kasions juga terdedah rahsia Erra memiliki tiga telefon bimbit, namun hanya selesa menggunakan aplikasi mesej yang popular di China iaitu WeChat berbanding WhatsApp.
“Memang saya selesa dengan WeChat. Saya ini kan ‘rare’. Saya ada OCD (gangguan obsesif-kompulsif) yang buatkan saya semak tengok nombor bila beratus, kadangkala beribu mesej masuk,” ujarnya.
Hubungan Erra dan Mr. E mula dihidu ramai sekitar akhir tahun lalu apabila perkongsian di laman sosial wanita yang hidup solo sejak 11 tahun lalu didakwa berbaur romantis.
The post ‘Dia tak nampak macam lelaki gatal, dia relaks’ appeared first on Kosmo Digital.