Auto Added by WPeMatico
Isu sekolah di kawasan berkepadatan tinggi diselesaikan

![]()
KUALA SELANGOR: Kementerian Pendidikan sedang dalam usaha menangani isu kepadatan sekolah dengan pembinaan bilik darjah tambahan dan sekolah-sekolah baharu terutama di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, dalam tempoh tiga tahun sebanyak 108 sekolah baharu iaitu 26 buah pada 2024, 44 pada 2025 dan 38 pada tahun ini.
“Sememangnya pihak kementerian di bawah Kerajaan Madani dalam beberapa tahun ini memberi fokus untuk pembinaan sekolah-sekolah baharu di kawasan yang mempunyai penduduk yang padat
“Sebagai contoh, sebelum tahun 2022, jumlah sekolah baharu dibina pada setiap tahu adalah dalam lingkungan antara sembilan hingga 12 buah sekolah. Tetapi, hanya untuk 2026, 38 buah sekolah baharu diluluskan dalam belanjawan kita,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) Eco Grandeur di sini, hari ini.
Tambahnya, peningkatan fasiliti turut sedang berjalan melibatkan pembinaan bilik darjah tambahan secara sistem binaan berindustri (IBS) di semua sekolah bagi menampung kemasukan murid darjah satu kohort enam tahun.
Terdahulu beliau menyaksikan upacara perasmian majlis pecah tanah sekolah berkenaan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang dijangka akan siap pada 2028.
Sekolah tersebut dibina di atas tapak berkeluasan kira-kira 2.7 hektar dengan konsep tanjakan berterusan di sekeliling blok bangunan sebagai kemudahan kepada pelajar atau kakitangan dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).
Fasiliti bernilai kira-kira RM18 juta dibiaya melalui kerjasama awam swasta (PPP) dengan syarikat Eco World itu dilengkapi dengan 24 bilik darjah yang mampu menampung sehingga 960 orang murid dalam satu-satu sesi.
SJK(C) Eco Grandeur juga akan dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan serbaguna, dua gelanggang badminton, bola keranjang serta perpustakaan dalam taman.
Jelas Kah Woh, di Bandar Puncak Alam turut akan dibina adalah sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Eco Grandeur yang sudah pun diluluskan dan berada di peringkat pra pembinaan.
“Di bawah RP5, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), SMK Eco Grandeur diberikan kelulusan dan sedang dalam status pra bina iaitu ukuran dana, siasatan tanah dan sebagainya sebelum pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) membuka tawaran serta melantik kontraktor bagi pembinaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fadhlina dalam ucapan perasmiannya terdahulu memaklumkan, kerajaan bertegas dalam isu pembinaan sekolah baharu dan pertambahan fasiliti pada setiap tahun.
“Saban tahun kita lihat dalam belanjawan dan perancangan-perancangan kita pastinya pembinaan sekolah itu ditambah kerana kita maklum keperluan masyarakat apatah lagi tahun depan adalah penting bagi kemasukan anak-anak enam tahun ke darjah satu.
“Jadi, fasiliti kita mesti kondusif. Sekolah kita dengan pengenalan sekolah selamat dan sebagainya adalah penting dan mesti sampai kepada masyarakat. Komitmen kita itu sangat jelas terkait pembinaan sekolah,” ujarnya. – UTUSAN
The post Isu sekolah di kawasan berkepadatan tinggi diselesaikan appeared first on Utusan Malaysia.
