Auto Added by WPeMatico

PUTRAJAYA – Pensyarah muda Universiti Multimedia (MMU) dan komposer lagu, Affan Mazlan, 25, mengangkat lagu rakyat popular Kurik Kundi sebagai sumber inspirasi utamanya dalam menghasilkan lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.
Menurut Affan, elemen perpaduan dan kepelbagaian budaya yang terserlah menerusi Kurik Kundi nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sebelum ini dijadikan sebagai rujukan untuk menghasilkan lagu tema itu yang berjudul Malaysia Madani Rakyat Disantuni.
“Saya mahu membawa semula roh lagu rakyat yang benar-benar dekat di hati rakyat Malaysia seperti Kurik Kundi yang telah menjadi lagu ikonik generasi sebelum ini.
“Lagu ini saya jadikan rujukan supaya mesej perpaduan dapat disampaikan dengan lebih berkesan melalui gabungan muzik tradisional dan elemen moden.
“Saya mahu lagu ini bukan sekadar menjadi lagu tema, tetapi benar-benar dirasai oleh semua golongan rakyat sebagai lagu yang menyatukan kita semua,” katanya ketika ditemui pemberita di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Lagu tema HKHM 2025 itu diperkenalkan secara rasmi buat kali pertama pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 yang berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor pada 27 Julai lalu.
Mengulas mengenai proses gubahan lagu dan muzik, Affan berkata, lagu tema yang dinyanyikan oleh Biduanita Negara itu mengambil masa hingga dua bulan untuk disiapkan.
Katanya, ia turut melibatkan cabaran untuk menyeimbangkan antara gaya formal dan santai agar mesejnya benar-benar sampai, selain mudah untuk dinyanyikan oleh semua golongan umur. – KOSMO! ONLINE
The post Lagu Kurik Kundi jadi inspirasi lagu tema Hari Kebangsaan 2025 appeared first on Kosmo Digital.