Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Sebanyak 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam memohon Majlis Raja-Raja supaya campur tangan dalam SIS Forum (Malaysia) yang berjaya dalam rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan, semalam.
Pengerusi Gabungan Pembela Ummah (Ummah), Mohd. Zai Mustafa berkata, keputusan dibuat mahkamah itu akan membuka peluang kepada pihak lain menggunakan perkataan Islam dalam pertubuhan dan syarikat mereka meskipun mereka tidak membawa ajaran Islam yang sebenar.
“Kami menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan semalam. Namun, keputusan ini dikhuatiri akan memberi implikasi iaitu agenda liberal dan pluralisme boleh dibawa atas nama pertubuhan bukannya individu.
“Sehubungan itu, kami memohon Majlis Raja-Raja untuk masuk campur dalam isu mengharamkan SIS melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),” katanya dalam sidang akhbar di luar pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014 iaitu ‘mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalism dan pluralism agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam’ adalah sah.
Bagaimanapun, panel empat hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menyatakan, fatwa itu tidak terpakai kepada Sisters In Islam (Sis) Forum (Malaysia) sebagai sebuah pertubuhan atau syarikat.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut seterusnya baginda menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.-KOSMO! ONLINE
The post SIS Forum: 70 NGO harap campur tangan Majlis Raja-Raja appeared first on Kosmo Digital.