Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Polis menugaskan seramai 500 anggota bagi memastikan keselamatan dan kelancaran Rain Rave Water Music Festival 2026 yang berlangsung di ibu negara malam ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kekuatan anggota itu melibatkan bantuan dari Bukit Aman serta semua daerah di Kuala Lumpur.
“Setakat ini kehadiran pengunjung dianggarkan sekitar 7,000 orang dan kita menjangkakan jumlah itu meningkat melebihi 10,000 menjelang tengah malam,” katanya ketika melakukan tinjauan di lokasi acara malam ini.
Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi notis penutupan jalan serta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan pengunjung agar menjaga keselamatan diri dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang termasuk penyalahgunaan dadah atau perlakuan tidak bermoral.
“Kita mahu program ini berjalan lancar dan terkawal, jadi kerjasama semua pihak amat penting,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, pusat bandar raya bakal bertukar menjadi pesta air gergasi menerusi acara Rain Rave Water Music Festival 2026, menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa yang dijadualkan berlangsung bermula hari ini di Bukit Bintang.
Acara yang menggabungkan elemen air, visual memukau dan muzik bertenaga tinggi itu dijangka menjadi antara tarikan hiburan paling ‘panas’ di ibu negara, sekali gus menawarkan pengalaman luar biasa buat pengunjung. – KOSMO! ONLINE
The post Rain Rave Water Music Festival ‘panas’, 500 anggota polis kawal keselamatan appeared first on Kosmo Digital.
