Auto Added by WPeMatico

![]()
JOHOR BAHRU – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard akan mendedahkan penyelewengan pemimpin tertinggi sebuah kementerian dan melibatkan sebuah pusat zakat di sebuah negeri.
Chegubard berkata, pihaknya sudah mengumpul bukti dan maklumat mengenai salah lalu individu berkenaan dan akan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, 3 petang esok.
“Saya akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi menyerahkan segala bahan bukti yang dikumpul dan memberikan keterangan lanjut kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
“Seperti biasa, kita akan dedahkan satu demi satu dan akan dimulakan dengan milikan harta, wang simpanan dan sebagainya oleh pemimpin tertinggi sebuah kementerian,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, di sini hari ini.
Beliau bersama peguam Muhammad Rafique Rashid Ali hadir ke Mahkamah Tinggi bagi pendengaran semakan jenayah membabitkan kes melibatkan permohonan Pendakwa Raya untuk menyemak semula keputusan Hakim Mahkamah Sesyen.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menerima salinan rakaman percakapan polis milik wartawan Bloomberg, Ram Anand berkaitan siasatan kes kasino di Forest City yang menjadi antara isu utama dalam perbicaraan berkenaan.
Menurut Chegubard, dia mendakwa dirinya berdepan pelbagai bentuk intimidasi termasuk laporan polis di beberapa negeri susulan pendedahan yang dibuat sebelum ini berkaitan rasuah pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, dia tidak akan pernah serik untuk membuat pendedahan terhadap sebarang kegiatan rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh mana-mana individu dalam institusi kerajaan.
“Saya menyokong titah Yang Di-Pertuan Agong dan amanat Perdana Menteri dalam memerangi rasuah, saya cuba usahakan perjuangan ini, yang penting adalah usaha pelaksanaannya.
“Saya bukan penguat kuasa, tetapi pendedahan ini dibuat untuk memastikan tindakan diambil. Jika tiada tekanan awam, saya bimbang isu rasuah dan salah guna kuasa ini akan terus terkubur,” katanya.
Ditanya mengenai surat tuntutan atau Letter of Demand (LOD) berkaitan pendedahan yang dilakukan sebelum ini, beliau menjelaskan masih belum menerimanya.
“Saya difahamkan terdapat dakwaan bahawa beberapa pihak mungkin telah memfailkan saman atau LOD. Namun, sehingga kini saya belum menerima sebarang LOD. Sekiranya ada, pihak berkenaan boleh memaklumkan kepada pejabat peguam saya atau saya boleh hadir sendiri untuk menerimanya,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Chegubard akan bongkor penyelewengan libatkan kementerian, pusat zakat appeared first on Kosmo Digital.