Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Tabiat gemar membeli bekas air atau tumbler secara berlebihan biarpun sudah mempunyai lambakan koleksi di rumah sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan aspek psikologi dan bukannya sekadar isu kecil semata-mata.
Menerusi perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook hari ini, tabiat membeli tumbler sebenarnya berkisarkan tentang harapan, identiti, rutin serta keinginan seseorang untuk berubah kepada gaya hidup yang lebih baik.
Menurut PHM, setiap pembelian tumbler baharu biasanya hadir bersama satu janji kecil kepada diri sendiri termasuklah azam untuk minum air kosong dengan lebih banyak atau mengurangkan pengambilan air manis.
“Sebab itu bila kita nampak tumbler cantik, otak kita bukan hanya nampak botol, tetapi nampak ‘possibility’ (kemungkinan).
“Otak mula berfikir kalau bawa tumbler ke pejabat, mungkin rutin akan nampak lebih teratur dan tersusun,” jelas PHM.
Mengulas lanjut, PHM mendedahkan bahawa pihak pemasaran sangat memahami helah psikologi tersebut dengan mengeluarkan pelbagai rekaan, warna serta edisi terhad sehingga ia bertukar menjadi sebahagian daripada personaliti dan status individu.
Faktor itu menyebabkan ramai yang akhirnya membeli rasa produktif dan kepuasan (dopamine kecil) kononnya tabiat sihat sudah bermula, biarpun rutin sebenar belum konsisten dibina.
“Akhirnya kita mula memberi alasan botol ini untuk kegunaan kerja, ke gimnasium, diletakkan di dalam kereta atau untuk melancong. Tanpa sedar, satu tumbler sudah bertukar menjadi lima.
“Ia bukan kerana semuanya perlu, tetapi kerana setiap satu membawa rasa baharu,” katanya.
Bagaimanapun, PHM menegaskan membeli botol air itu tidak salah sekiranya ia benar-benar membantu sebagai peringatan visual untuk membina rutin yang lebih sihat dan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
Namun, orang ramai diingatkan bahawa barangan premium tersebut bukanlah ‘penyelamat’ mutlak kepada tahap kesihatan seseorang.
“Botol paling mahal pun tidak boleh paksa kita minum air kosong kalau tabiat belum berubah. Yang mahal ialah kesedaran untuk mula menjaga kesihatan sebelum badan sendiri memberi amaran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Helah tumbler cantik, mula-mula satu, lepas tu jadi lima’ appeared first on Kosmo Digital.

