Auto Added by WPeMatico

![]()
PADANG BESAR – Seorang wanita tempatan dan lelaki Thailand dicekup selepas disyaki menyeleweng petrol dengan memindahkan bahan api itu dari Proton Waja ke pikap Thailand di sebuah rumah di Kampung Titi Tinggi Ulu, di sini malam tadi.
Dua individu berusia lingkungan 40-an dan 30-an itu ditahan dalam serbuan Ops Tiris 4.0 oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kira-kira pukul 8 malam.
Pengarah Pejabat KPDN Perlis, Rohaida Hassan berkata, semasa serbuan didapati berlaku aktiviti pemindahan minyak disyaki petrol dari Proton Waja bernombor pendaftaran tempatan ke tangki Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand.
“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap Proton Waja menemukan tangki yang disyaki telah diubah suai di bahagian belakang, manakala Toyota Hilux pula terdapat pengubahsuaian tangki di bahagian bawah,” katanya di sini hari ini.
Wanita terbabit dipercayai merupakan penghuni rumah tersebut dan juga pemilik Proton Waja berkenaan.
Pasukan risikan KPDN bertindak memantau kegiatan itu sejak seminggu lalu selepas menerima maklumat.
Sehubungan itu, kata beliau, satu tindakan kes telah diambil di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Dianggarkan sebanyak 300 liter petrol telah disita dengan nilai rampasan berjumlah RM597. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM98,097,” ujarnya.
Penguat kuasa percaya wanita itu mendapatkan petrol RON95 menerusi Budi Madani RON95 (Budi95) pada harga RM1.99 seliter sebelum menjualnya semula pada harga RM4 seliter.
Dia sekali gus memperoleh margin kasar kira-kira RM2.01 bagi setiap liter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.37 seliter bagi tempoh 17 hingga 23 September 2026.
Urus niaga tersebut dipercayai berlaku secara berulang, namun tidak terlalu kerap iaitu sekitar dua hingga tiga kali seminggu.
Hasil risikan dan siasatan awal mendapati aktiviti itu dipercayai sudah berlaku sejak kira-kira dua minggu lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Dua lelaki pindah petrol dari Waja ke pikap Siam dicekup appeared first on Kosmo Online.
