Auto Added by WPeMatico

![]()
SEREMBAN – Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan menyifatkan arahan kerajaan negeri memindahkan semua kakitangan Balai Undang Luak Sungei Ujong sebagai tindakan tidak wajar dan tidak sensitif kerana didakwa mendahului proses adat yang masih berjalan.
Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga sayap parti itu memaklumkan arahan penempatan semula kakitangan yang berkuat kuasa pada Selasa lalu serta pengosongan Kediaman Rasmi dan Balai Undang pada keesokannya dibuat ketika institusi itu sedang menguruskan pertikaian yang belum selesai melibatkan Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.
Menurut kenyataan itu, tindakan tersebut boleh dilihat sebagai penggunaan kuasa pentadbiran untuk mendahului proses adat, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kepekaan kerajaan negeri dalam menangani isu berkenaan.
“Maka tindakan Kerajaan Negeri ini adalah tidak wajar, tidak sensitif dan boleh dilihat sebagai penggunaan kuasa pentadbiran
untuk mendahului proses adat.
“Institusi Undang Luak bukan sekadar jawatan pentadbiran biasa. Ia adalah sebahagian daripada struktur adat Negeri Sembilan yang mempunyai kedudukan tersendiri dan tinggi dalam sejarah, budaya dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, yang harus kita hormati,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, mereka menegaskan sebarang tindakan melibatkan institusi berkenaan, termasuk kediaman rasmi, balai dan kakitangan, perlu dilaksanakan dengan tertib, berhati-hati dan menghormati proses adat.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa tindakan tergesa-gesa berkenaan menguatkan persepsi bahawa krisis tersebut gagal diurus dengan bijaksana oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Isu ini bukan soal politik kepartian. Ia secara terang-terangan mengenai kegagalan seorang Menteri Besar dalam mengurus krisis melalui tertib adat, menjaga maruah dan persepsi rakyat terhadap institusi di negeri kita,” kata kenyataan tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Arahan pindah Balai Undang disifatkan tidak wajar, dahului proses adat appeared first on Kosmo Digital.
