Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Pelaksanaan Program Nutrisi Selangor (NutriSel) menjadi pemangkin kepada amalan pengurusan kewangan berhemah dalam kalangan murid sekolah, selain menjamin akses kepada hidangan harian yang seimbang dan bernutrisi.
Inisiatif terbaharu Kerajaan Negeri Selangor itu mendapat reaksi positif daripada warga Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sungai Buloh sewaktu tinjauan dijalankan terutamanya bagi murid daripada keluarga berpendapatan rendah.
Menerusi peruntukan RM14.4 juta, program itu bermula dari 3 Ogos hingga Oktober ini dengan menyasarkan liputan menyeluruh di 962 sekolah seluruh negeri.
Secara keseluruhannya, seramai 106,435 murid daripada isi rumah berpendapatan bawah RM2,000 dikenal pasti sebagai penerima manfaat untuk memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima pemakanan yang berkualiti.
Selain menjaga kebajikan fizikal dan tahap kesihatan murid, program itu juga menjimatkan kos perbelanjaan harian yang perlu ditanggung ibu bapa dan membolehkan anak-anak memanfaatkan wang belanja harian untuk tujuan simpanan.
Murid SK Bandar Baru Sungai Buloh, Abdul Rahman Qayyim Khairil Ridwan meluahkan keterujaan kerana bantuan itu membolehkannya mula menabung secara konsisten.
“Saya mahu simpan duit belanja di tabung untuk masa depan,” katanya.
Bagi M. Rashmikah pula, penyediaan menu yang menyelerakan secara percuma menjadi pendorong utama untuknya memulakan sesi persekolahan dengan penuh semangat.
“Nasi lemak makanan kegemaran saya. Duit belanja ini saya simpan untuk beli barang yang saya suka,” katanya.
Dalam pada itu, Puteri Salsalbil Azzahra Abdullah berkata, agihan sarapan percuma memudahkan urusan harian murid dan mengelakkan kesesakan di kantin sekolah.
“Hari ini dapat jimat belanja dan tidak perlu beratur panjang di kantin. Duit ini nanti saya simpan,” katanya. – UTUSAN
The post Sarapan percuma NutriSel bantu pelajar jimat wang saku appeared first on Utusan Malaysia.
