Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh sarjana sejarah tempatan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam yang dilaporkan telah kembali ke rahmatullah petang semalam.
Anwar dalam hantaran di Facebook menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia akademik dan negara, khususnya dalam bidang sejarah dan pemikiran bangsa.
Menurut beliau, negara kehilangan seorang tokoh ilmuwan yang begitu gigih menegakkan kebenaran melalui ilmu dan penulisan.
“Negara ternyata telah kehilangan seorang sarjana besar yang sepanjang hayatnya menegakkan keteguhan ilmu dan menumpahkan seluruh bakti dalam memperkasa jati diri bangsa melalui sejarah.
“Salam takziah buat seluruh keluarga atas pemergian allahyarham.
“Mendoakan keluarganya diberi ketabahan serta kecekalan yang tinggi serta dikurniakan rahmat ke atas rohnya, dan ditempatkan rohnya di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.
Allahyarham Prof. Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam dikenali sebagai antara sarjana sejarah terkemuka negara yang banyak menulis mengenai sejarah Melayu, identiti bangsa dan isu nasionalisme.
Beliau pernah berkhidmat di Universiti Malaya serta menghasilkan pelbagai karya akademik yang menjadi rujukan penting dalam bidang sejarah tempatan.- KOSMO! ONLINE
The post PM ucap takziah pemergian Prof. Emeritus Datuk Dr. Ahmat appeared first on Kosmo Digital.