Auto Added by WPeMatico
Hakim titip kata-kata terhadap perancangan Syed Saddiq

PUTRAJAYA – Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais sempat menitipkan kata-kata terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sejurus selepas Mahkamah Persekutuan membaca penghakiman keputusan majoriti 2-1.
“Selepas keputusan majoriti memihak repsonden (Syed Saddiq ), saya berharap beliau dapat meneruskan perancangan dengan sebaik-baiknya. Kami tahu responden (Syed Saddiq) mempunyai perancangan selepas keputusan kes ini. Kini setelah keputusan majoriti memihak kepada responden, saya berharap beliau dapat meneruskan perancangan itu dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa hakim juga manusia biasa yang mempunyai keadaan kesihatan berbeza dan penangguhan prosiding akibat masalah kesihatan bukanlah sesuatu yang luar biasa.
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa walaupun kami hakim, kami juga manusia biasa. Kami ada masa sihat dan ada masa tidak sihat.
“Apabila seorang hakim tidak sihat, perkara seperti penangguhan kes memang boleh berlaku. Ia bukan sesuatu yang luar biasa atau belum pernah berlaku. Saya harap semua pihak dapat memahaminya,” katanya.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali berkata, hakim tidak boleh mempertahankan diri atau menjawab pelbagai kenyataan yang dibuat di ruang awam.
Justeru, beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya, khususnya berkaitan perjalanan prosiding mahkamah dan keadaan seorang hakim yang tidak sihat.
Mengulas lanjut, Che Mohd. Ruzima berkata, keputusan sebenarnya sudah tersedia untuk dibacakan.
“Tetapi apabila ketiga-tiga hakim diarahkan menulis alasan penghakiman masing-masing dan seorang daripada mereka jatuh sakit, adakah wajar keadaan itu disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa. Oleh itu, pihak-pihak yang berkepentingan perlu memainkan peranan masing-masing dengan bertanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq kekal dibebaskan atas empat pertuduhan berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Persekutuan di sini.
Keputusan majoriti 2-1 dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama dua lagi Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Hakim Che Mohd. Ruzima dan Hakim Collin membentuk majoriti manakala Hakim Abu Bakar menentang dengan menyampaikan keputusan berbeza. – KOSMO! ONLINE
The post Hakim titip kata-kata terhadap perancangan Syed Saddiq appeared first on Kosmo Digital.
