Auto Added by WPeMatico

SEBERANG PERAI – Seorang pekerja kurier mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth, di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu memperdaya bekas teman wanita kononnya dia diculik serta memiliki peluru tanpa permit.
Tertuduh, Muhamad Zulkifli Azizan, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan pertama, duda dua anak itu dengan curangnya memperdaya teman wanitanya yang berusia 21 tahun agar mempercayai dirinya dalam bahaya sedangkan tiada penculikan berlaku dan rakaman video yang dihantar adalah rekaan semata-mata.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Jalan Labu Banting, Guar Perahu di Bukit Mertajam kira-kira pukul 10.30 malam, pada 28 Mei lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki sembilan butir peluru kaliber SME 5.56 mm blank buatan Malaysia tanpa permit di sebuah kediaman di Bertam Perdana, Kepala Batas kira-kira pukul 6.20 petang, Jun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin yang menawarkan RM16,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin diikuti syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya memperoleh pendapatan bulanan kira-kira RM3,000 selain perlu menyara dua anaknya berusia dua dan tiga tahun serta ibunya yang sakit.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta menetapkan 31 Julai depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE
The post Duda tak mengaku ‘prank’ kekasih konon diculik appeared first on Kosmo Digital.